Khamis, 18 Disember 2008

ADAKAH ORANG KEDAH MALAS HENDAK BERCAKAP

[TIKedah] ADAKAH ORANG KEDAH MALAS HENDAK BERCAKAP
Wednesday, December 17, 2008 3:24 PM
From: 
"MNasir Hj Hashim"
To: 

TIKedah@yahoogroups.com

Dalam hal ini saya ingin memberi pendapat dan pandangan berdasarkan apa yang ada di dalam kotak kepada saya sendiri. Ini bukan satu kajian atau apa-apa kaji selidik, hanya pandangan saya semata-mata berdasarkan pengalaman.Kalau tidak percaya pun tidak menjadi masalah, lagi pun ini bukan ayat al.Quran atau al.Hadis, Tulisan ini hanya layak menjadi bahan sembang-sembang sahaja.


Beberapa hari lepas kita membaca tajuk " Untungnya Johor, bila Johor bercakap semua orang faham", tetapi kali ini mungkin Johor rugi sebab bila Kedah bercakap Johor tidak faham,

Orang Melayu Malaysia bercakap menggunakan berbagai loghat (slang),Seperti loghat Kedah, Kelantan, Perak, Trengganu, Perlis dan Pulau Pinang.

Negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis Secara umumnya mereka ini diletakkan di dalam satu kumpulan iaitu kumpulan yang bertutur dalam Bahasa Melayu Utara atau loghat Utara..Kedah adalah salah satu negeri yang bercakap dalam loghat tersebut.

Sebenarnya di dalam negeri Kedah itu sendiri secara halusinya masih terdapat perbezaan sebutan atau beberapa loghat lagi di antara daerah dengan daerah,Contohnya Daerah Baling, Sik, Kota Star, Padang Terap,mereka ini bercakap dalam loghat yang berbeza.

Pada pemerhatian saya yang paling istimewa ialah terdapat juga orang Melayu yang bahasa pertuturan harian mereka adalah bahasa Thai walaupun bahasa yang digunakan telah bercampuraduk sebahagiannya dengan bahasa Melayu tetapi masih lancar digunakan dan tidak difahami oleh orang lain yang bukan masyarakat mereka.Mereka ini biasanya bercakap Melayu tidak fasih dalam aspek sebutannya.Namun demikian tidak menjadi masalah dari segi membaca al.Quran.

Di antara tempat atau kampung yang masyarakatnya menggunakan bahasa atau loghat tersebut ialah Tualang,Tobiar, Tajar,Kubur Panjang,Naka, Kok Pelu, Tok Kesop,Hosba dan banyak lagi. Tegasnya mereka yang bertutur dalam loghat ini mendiami di sepanjang bahagian timor negeri Kedah. 

Jika diperhatikan bahasa Melayu yang ditutur di Kedah adalah perkataannya pendek atau ringkas.Sifatnya yang ringkas itu maka mesej yang hendak disampaikan dapat dilunaskan dengan cepat.Bagi saya ini adalah suatu kebaikan.

Agaknya apakah yang mempengaruhi orang Kedah bercakap begitu rupa.Saya rasa ini adalah pengaruh bahasa siam atau cina ataupun bahasa rumpun tersebut.Kebanyakan bahasa atau perkataan yang digunakan mereka adalah satu suku kata, akan diberi contohnya di bawah nanti.
Mereka ini mungkin mahu cepat bukan malas seperti disebutkan di atas tadi. Sama juga dengan orang Melayu di tempat lain kadang-kadang mereka mahu cepat dengan meringkaskan sebutan tertentu, terutamanya nama orang, jarang disebut penuh walaupun diberi nama begitu indah tetapi mereka selain daripada orang utara tidak lumrah dengan memendekkan perkataan seperti orang di utara.

Beberapa contoh yang dimaksudkan tadi:
Melayu baku /Melayu Kedah/ Siam.
pergi /pi / pai
sukan /sukan /sokan
mari / mai /ma
sekejab /sat /diu
pergi ke mana / pi mana /pai nai
engkau /hang / khun/meng
empat / pat /se
di mana /tang mana / tong nai 
ubat hitam / ja dam / ja dam
hutan merah / kodiang / kok deng

Selain daripada kependekan dan pengaruh asing terdapat juga lain-lain unsur yang menyerab ke dalam lidah orang kedah,Walaupun huruf (R) digantikan dengan (K) tetapi mereka masih fasih menyebut huruf Arab, mereka tiada masalah menyebut huruf seperti ain, ghain, syin, qaf, kaf dan lain-lain. Adakah mereka juga terpengaruh dengan bahasa Arab, sukar hendak dinafikannya kerana mereka keseluruhannya adalah Islam dan terdapat banyak pondok-pondok di Kedah dan juga madrasah-madrasah yang menjadi tempat menyebar ajaran Islam, sehingga sekarang pusat pengajian tersebut masih wujud tetapi telah dimodenkan.

Seperti saya katakan tadi, apa yang dipaparkan ini hanya susuai untuk dijadikan sembang-sembang di bawah pokok ketapang sahaja.Kalau terdapat di kalangan anda yang berminat hendak bersembang dalam hal ini, silalah buat komen atau ulasan tambahan supaya sembang kita ini menjadi lebih murni lagi.

Apa pun yang kita buat, apa pun yang kita fikir kalau tidak kembali kepada takdir Allah tentulah derhaka namanya.Ini sebenarnya adalah Kebijaksanaan Allah, jika direnungkan tergambarlah KeagunganNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan