Rabu, 26 Ogos 2009

Senjata Makan Tuan!

DAKWAAN Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Ahmad Maslan bahawa terdapat 3,696 pengundi hantu di Permatang Pasir ‘umpama senjata makan tuan.’

Mantan Calon PBS bagi DUN Likas, Dr Chong Eng Leong berkata, BN hanya memutar belitkan fakta sebenar untuk meraih simpati pengundi kerana mereka tidak ada isu yang hendak digunakan untuk menarik sokongan pengundi yang semakin luntur terutama kaum Cina yang mula berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

“Mereka yang buat undang-undang agar Daftar Pemilih tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah setelah diwartakan iaitu selepas saya memenangi petisyen Pilihanraya Likas 1999, “ ujar Chong yang mengimbau kembali kemenangannya apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan keputusan pilihan raya negeri Sabah pada 1999 bagi kerusi Likas sebagai batal dan tidak sah setelah mendapati ada pengundi yang tidak wujud dalam daftar pemilih bagi kawasan itu termasuk rakyat asing, telah mengundi di situ.

Kata Chong, keputusan Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang bahawa daftar pemilih 1998 bagi kawasan itu adalah tidak sah kerana terdapat pengundi yang tidak wujud atau apa yang disebut pengundi ‘hantu’ di kawasan itu.

Kewujudan pengundi bukan di kalangan warga negara dan pengundi hantu dalam daftar pemilih seperti yang disebut dalam perbicaraan, kata Kamil, mungkin hanya sebahagian kecil daripada sesuatu yang lebih besar ketika penghakiman setebal 29 muka yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar, Ravinthran Paramaguru.

"Saya amat gembira apabila Hakim Kamil berkata bahawa tidak ada siapa termasuk jabatan atau institusi kerajaan, yang mengatasi undang-undang," kata Chong sebagai mengulas kenyataan Ahmad Maslan yang menyebut Laporan Kajian Sikap yang dibuat BN bagi pilihan raya itu, kesemua pengundi tersebut tidak dapat dikesan di alamat yang didaftarkan.

“Bila kita pergi ke sebuah rumah, kita dapati 14 pengundi didaftarkan di rumah itu, tetapi bila kita nak bagi slip mengundi kita dapat bagi pada tujuh orang sahaja pengundi. Tujuh pengundi lagi kita tidak dapat kesan. Berdasarkan tuan rumah itu, mereka tidak pernah mengenali nama pengundi tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar kelmarin.

Ahmad Maslan mendakwa 961 pengundi hantu dikesan di kawasan Sama Gagah, Permatang Ara (95), Permatang Pauh (284), Bukit Indera Muda (142), Kampung Pelet (216), Kubang Semang (329), Tanah Liat Mukim 8 (74), Kampung Cross Street 2 (1,181) dan Permatang Tengah (414).

“Kita ada senarai lengkap pengundi yang tidak dapat dikesan ini,” katanya memaklumkan mereka menggunakan mekanisme berdasarkan siasatan yang dibuat BN mengikut alamat rumah.

“Kita syorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyenaraikan daftar pemilih mengikut alamat rumah. Jadi bila kita taip alamat rumah akan keluar nama pengundi yang mendaftar menggunakan alamat itu,” katanya yang menjelaskan terdapat pengundi Cina didaftarkan di rumah Melayu dan sebaliknya.

Ditanya sama ada BN meragui senarai daftar pemilih yang disahkan oleh SPR, Ahmad Maslan berkata: “Ini tidak berlaku pada pilihan raya sebelum ini. Di Permatang Pasir ada special case (kes luar biasa) pada pandangan kami,” katanya.

Sehubungan itu kata Chong, tindakan tergesa-gesa Kerajaan BN mewartakan undang-undang bahawa semua daftar pemilih yang telah diwartakan tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah telah menikam mereka sendiri sekiranya terdapat pengundi ‘hantu’ atau pengundi tidak wujud di kawasan berkenaan.

“Undang-undang itu mereka buat dan luluskan di Parlimen untuk membolehkan SPR menjadi kebal, namun apabila mereka ingin mencabar kesahihan daftar pemilih, mereka terperangkap di antara helah dan undang-undang,” ujar Chong yang telah menjelaskan segalanya di dalam buku terbarunya, ‘Lest We Forget’ yang dilancarkan Mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zaid Ibrahim.

Sumber:Klik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan