Ahad, 16 Ogos 2009

Gempa di Sumatera, gegaran dirasai di Semenanjung Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Ogos — Satu gempa bumi kuat berskala 6.9 pada skala Richter berlaku di 56km Tenggara Siberut, Selatan Sumatera, Indonesia pukul 3.38 petang tadi, dan gegarannya dirasai di sekitar perairan pantai barat Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun gemba bumi itu tidak akan menyebabkan tsunami berlaku di Malaysia, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi di sini hari ini.

Gempa itu berpusat di latitud 1.6 darjah Selatan dan longitud 99.4 darjah Timur, dan kira-kira 541km Tenggara Melaka, katanya.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah di sini memberitahu Bernama pihaknya menerima laporan daripada orang ramai mengenai gegaran yang dirasai di sekitar bandar raya sejak pukul 4 petang ini.

Antara panggilan yang diterima adalah dari kawasan Wangsa Maju, Desa Petaling dan Bandar Tun Razak dan pihaknya kini sedang memantau perkembangan tersebut, katanya.

— BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan