Isnin, 2 Februari 2009

'Saya produk bahasa melayu dari kampung...'

KENAPA? Itulah persoalan yang timbul apabila saya melihat isu PPSMI ini muncul. Kita semua maklum bahawa ia telah menjadi isu hangat sejak diperkenalkan lagi. Kini terdapat wadah khas untuk tujuan pemansuhan dikenali sebagai Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP).

Saya merupakan produk dasar bahasa kebangsaan dan berasal dari luar bandar. Sekarang saya menjawat jawatan sebagai pegawai eksekutif hasil daripada ijazah yang diperolehi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tiga tahun yang lalu.

Zaman persekolahan merupakan zaman yang dikelilingi wadah bahasa ibunda tanpa diselangi bahasa asing kecuali matapelajaran Bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris ini tidak dapat dikuasai dengan baik walaupun keputusan cemerlang sentiasa saya perolehi ketika di bangku sekolah. Tetapi selepas menuntut di universiti, saya diberi ruang dan peluang untuk mempertingkatkan kemahiranbahasa Inggeris saya, ini kerana bahasa Inggeris digunakan secara menyeluruh di UIAM.

Selepas tamat pengajian, saya telah menghadiri pelbagai sesi temuduga dan apa yang saya boleh kongsikan di sini tidak ada satu pun temuduga yang saya hadiri menggunakan bahasa Melayu melainkan bahasa antarabangsa iaitu bahasa Inggeris. Saya bertuah kerana saya berjaya memperkukuhkan kemahiran berbahasa ini di universiti.

Tetapi berapa ramaikah anak bangsa kita yang mempunyai ruang dan peluang seperti saya? Jika kemahiran berbahasa Inggeris melalui PPSMI ingin dimansuhkan, di manakah kedudukan anak bangsa kita selepas ini? Pengalaman saya menunjukkan, anak saudara saya yang berumur 13 tahun sekarang berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik berbanding saya pada usia yang sama hanya disebabkan peluang dan ruang menggunakan bahasa Inggeris melalui PPSMI.

Gerakan yang ingin memansuhkan PPSMI ini lebih baik diusahakan untuk menjadi gerakan untuk menubuhkan satu sistem persekolahan di Malaysia. Ini kerana jika kita lihat, pelajar yang menuntut di sekolah aliran Cina/Tamil secara asasnya memiliki kemahiran dalam Mandarin/Tamil, Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Tetapi bagi anak bangsa kita yang menuntut di sekolah aliran kebangsaan hanya memiliki dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Bukankah elok sekiranya kita wujudkan satu sistem persekolahan dan pastikan semua anak bangsa Malaysia menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa. Ini tidak, ruang untuk memperkukuhkan anak bangsa melalui PPSMI dinafikan atas agenda tertentu.

Saya tidak nampak kewajaran untuk kita memansuhkan PPSMI sedangkan bangsa Melayu masih terkebelakang dengan sistem sebelum ini.

Keputusan peperiksaan awam juga menunjukkan berlaku peningkatan dalam penguasaan Bahasa Inggeris selepas pelaksanaan PPSMI. Mungkin sedikit mengambil masa untuk melihat keunggulan PPSMI secara menyeluruh kerana kebanyakan guru bagi Sains dan Matematik sekarang adalah produk Dasar Bahasa Kebangsaan.

Saya pohon kepada semua warga Malaysia khususnya GMP, lihatlah dunia di sekitar kita. Saya sokong untuk diperkukuhkan bahasa kebangsaan, tetapi kita juga perlu pertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa.

MOHD. KHAIRI MD JAAFAR

kulim, kedah


Catatan ZBO: Apa kena mamat ni ... takkan nak jadi tukang sapu/buruh di Malaysia pun kena bijak cakap omputih ... hat paham dan buleh berkomunikasi broken pun jadi la ... tu menunjukkan apa? sistem pendidikan kita yang korup ... sekolah selama 11 atau 13 tahun belajar BI pun masih tak pandai ... sekarang nak tambah lagi dengan tak pandai sains dan tak pandai matematik ... jangan dok tengok anak penakan dia sorang saja ... co tengok anak penakan orang lain sama ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan