Selasa, 17 Februari 2009

Relawan HALUAN selamat berlepas ke Gaza

muhammad haleem to TIKedah

February 17, 2009
Relawan HALUAN bergambar sebelum berlepas ke Gaza

Relawan HALUAN bergambar sebelum berlepas ke Gaza

Sepang, Selangor 16 Februari 2009 - TIGA orang relawan HALUAN telah selamat berlepas ke Gaza dari lapangan terbang KLIA pada jam 10:15 malam tadi. Mereka terdiri daripada Haji Noorazman Mohd Samsuddin, iaitu Pengerusi Sekretariat HALUAN Palestin yang juga merupakan seorang yang pakar dalam bidang kejuruteraan perubatan, Dr Roniyuzam Abd Malek, seorang doktor perubatan yang begitu banyak pengalaman dalam misi bantuan bencana di luar negara, dan juga Saudara Ahmad Muhtad Yusof, seorang jurnalis yang fasih berbahasa Arab.
Mereka tiba di lapangan terbang KLIA seawal jam 7:30 malam. Turut mengiringi mereka ke KLIA adalah kira-kira 20 orang relawan HALUAN dan ahli keluarga, termasuk Penasihat Sekretariat HALUAN Palestin, Ustaz Mohd Darus Senawi, Ketua Biro Bantuan Kemanusiaan, Dr Syed Muhammad Haleem dan Yang Dipertua HALUAN Selangor, Prof Madya Dr Nik Mu’tasim.
Adalah difahamkan misi relawan HALUAN ke Gaza kali ini adalah bertujuan untuk menyampaikan sendiri sumbangan bantuan ikhlas orang ramai kepada mangsa-mangsa kekejaman tentera Zionis di Gaza di samping merencana langkah bantuan jangkasama panjang agar selari dengan perancangan kerajaan Palestin di Gaza.
Dalam ucapan nasihatnya kepada relawan ke Gaza, Ustaz Mohd Darus menjelaskan bahawa permasalahan yang berlaku di Palestin adalah merupakan paksi kepada permasalahan umat Islam. Perjuangan di Palestin telah bermula sejak zaman para anbiya’, dan ianya merupakan sebahagian besar daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah saw. Umat Islam tidak boleh sama sekali mengabaikan isu Palestin, sebagaimana yang dapat kita pelajari daripada sejarah perjuangan Saidina Umar al Khattab ra dan juga Sultan Salahuddin Al Ayyubi ra dalam memberi keutamaan kepada usaha membela Palestin. “Kita mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang memperjuangkan Palestin. Siapa yang tidak memperdulikan urusan orang Islam, dia bukan dari kalangan kami,” kata Ustaz Mohd Darus mengulas sepotong hadis Rasulullah saw.
“Kita yang tidak dapat pergi, walaupun cuma menghantar 3 orang wakil, tetap bersama dengan mereka. Relawan lain sudahpun bersiap untuk ke Palestin, menunggu giliran mereka tiba nanti (untuk ke Palestin.) Kita juga perlu tingkatkan usaha membantu dari sini (Malaysia,)” terang Ustaz Mohd Darus lagi.
Menyentuh tentang sumbangan yang akan disampaikan kepada rakyat Palestin di Gaza, Ustaz Mohd Darus mengulas dengan tegas, “Kita sudah berjanji kepada masyarakat, (bahawa) apa yang kita kumpulkan ini tidak akan sama sekali kita beri kepada mereka yang tidak bertanggungjawab. Kita akan sampaikan kepada mereka yang amanah dan merasa bertanggungjawab di hadapan Allah. HALUAN bukan sekadar mengumpul dana, tetapi kami mengumpul dana dengan rasa penuh tanggungjawab di hadapan Allah untuk menyampaikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Adalah satu tragedi sekiranya dana sumbangan tidak disampaikan kepada mereka yang memerlukan. Itu adalah satu penganiayaan, kezaliman dan pengkhianatan. Setiap langkah kita diperhati oleh Allah.”
Semoga semua relawan HALUAN ke Gaza akan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesanan dan penuh amanah.
Sebagaimana yang kita maklum, terdapat lebih 10,000 penduduk Gaza yang masih tidak mempunyai tempat berteduh. Mereka amat memerlukan bantuan dan doa ikhlas dari kita yang lebih bernasib baik.
Kepada semua dermawan yang ingin terus membantu melalui Sekretariat HALUAN Palestin, anda boleh menyalurkan derma melalui akaun berikut:
Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
No Akaun: 14-023-01-003429- 2
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan