Khamis, 19 Februari 2009

GANTI SPEAKER - UMNO NAK CABUL PERLEMBAGAAN SEKALI LAGI?

Pak Lah kata BN Perak ada pendekatan tersendiri bagi menggantikan Speaker DUN yang sekarang masih sah disandang oleh YB Sivakumar (DAP Tronoh). Butir pendekatan itu masih dirahsiakan. BN juga belum memutuskan calon untuk mengisi jawatan itu. (berita asal DI SINI)

Apa lagi yang nak dibuat oleh UMNO?

Kenyataan Pak Lah itu menimbulkan keresahan banyak pihak dalam Pakatan Rakyat dan di kalangan pemerhati politik. Kebimbangan ini berdasarkan rekod kesanggupan UMNO melakukan apa saja demi matlamat politik mereka termasuk mencetuskan krisis perlembagaan terkini melalui rampasan kuasa di Perak.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dengan jelas memperuntukkan bahawa tanggungjawab dan hak memilih Speaker adalah pada Dewan Perhimpunan Undangan atau Dewan Undangan Negeri dalam sidangnya. (rujuk Fasal XXXVIA)

Jawatan Speaker hanya kosong apabila penjawatnya berhenti daripada menjadi ADUN dengan cara meletak jawatan atau hilang kelayakan di bawah Perenggan 5 Fasal yang sama.

Mengikut Perenggan itu, Speaker boleh hilang kelayakan jika tiga bulan (atau lebih) selepas memegang jawatan itu, dia menjadi ahli lembaga pengarah/pengurusan atau pegawai atau pekerja sesuatu pertubuhan/badan, sama ada dia menerima/mendapat apa-apa saraan/hadiah/untung /faedah atau tidak. TETAPI sebab-sebab hilang kelayakan itu 'tidak boleh dipakai' jika pertubuhan/badan itu menjalankan kerja kebajikan atau sukarela atau yang berfaedah kepada masyarakat atau berupa khairat/sosial, dan tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah.

Perenggan 6 Fasal itu menegaskan hanya Dewan Perhimpunan Undangan (DUN) yang boleh membuat keputusan mengenai 'hilang' atau 'tidak hilang' kelayakan Speaker, dan keputusan (dalam sidang DUN) itu adalah muktamad.

Fasal XVIII(2)(a) yang digunakan oleh UMNO untuk menghalalkan perlantikan Menteri Besar rampasan kuasa adalah tiada kena mengena langsung dengan hal ehwal perlantikan Speaker.

UMNO juga tidak boleh memaksakan perletakan jawatan Speaker di luar sidang DUN dan tidak boleh mengusahakan perkenan istana bagi maksud melucutkan jawatan Speaker sebagaimana kes lucut jawatan Menteri Besar Dato' Seri Nizar. Kekaburan Fasal XVI(6) hanya merujuk kepada jawatan Menteri Besar sahaja. Ia tidak langsung merujuk kepada jawatan/kedudukan Speaker atau ahli Dewan Undangan Negeri.

Maka, apa pendekatan UMNO yang dimaksudkan oleh Pak Lah?

Pendekatan berasaskan undang-undang dan perlembagaan memang tiada dan tak mungkin boleh rekacipta. Ruang yang 'kabur' dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak seperti yang dimanipulasi dalam kes penolakan perkenan untuk pembubaran DUN dan perlucutan jawatan MB Nizar TIDAK wujud bagi kes Speaker ini.

Kebimbangan yang timbul sekarang ialah 'pendekatan tidak bermaruah' yang telah sebati dengan praktis politik UMNO.

Mereka boleh 'tanpa rasa takut' mengambil langkah bersandar kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak tetapi secara 'unconstitutional'. Media (elektronik dan cetak) akan digunakan sepenuhnya untuk menghalalkan jenayah perogolan perlembagaan yang dilakukan.

Mereka boleh 'menghilangkan' YB Sivakumar untuk satu tempoh yang memadai untuk memanggil sidang DUN dengan kuasa Timbalan Speaker (Hee Yit Fong) yang kini di pihak mereka.

Mereka boleh 'menjemput' YB Sivakumar untuk bermestautin di mahligai mereka dengan sebutharga yang tinggi, tetapi sehingga kini tiada sebarang keraguan di kalangan Pakatan Rakyat tentang komitmen ADUN Tronoh itu kepada DAP dan PR. Tiada sebarang tanda-tanda YB Siva boleh berubah hati.

UMNO sebenarnya dalam keadaan tersepit sekarang ini. Mereka sedang buntu dalam hal kuasa serta ruang yang ada dari sudut undang-undang dan perlembagaan bagi menghadapi cabaran krisis selepas merampas kuasa. Loop hole yang ada ketika menyempurnakan rampasan kuasa 6 Februari lalu tidak mudah dijumpai lagi bagi hal yang lain. Oleh itu mereka mungkin terpaksa menebuk lubang secara paksa untuk keluar dari masalah yang sedang dihadapi.

Aktivis Pakatan Rakyat di semua peringkat mengharapkan ada langkah-langkah keselamatan yang terbaik untuk menghadapi segala kemungkinan berhubung isu Speaker ini. YB Sivakumar wajar dibekalkan satu pasukan khas untuk maksud keselamatan dirinya daripada sebarang percubaan luar jangka oleh UMNO.

Keselamatan semua YB Pakatan Rakyat juga mesti diambil perhatian kerana mereka turut terdedah kepada 'persembahan silap mata' UMNO yang mampu menghilangkan mereka atau menukarkan mereka menjadi barang dagangan. Jika YB Siva tak dapat diapa-apakan, maka kehilangan dua atau tiga YB Pakatan Rakyat sudah cukup untuk memberikan kekuatan besar kepada UMNO dalam persidangan DUN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan