Khamis, 1 Januari 2009

PPSMI masih perlu kajian teliti


Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Kementerian Pelajaran perlu membuat kajian mendalam berhubung pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) supaya ia dilihat adil bagi semua pihak.

Tokoh pendidik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sebarang keputusan mengenai pelaksanaan PPSMI perlu dikaji dengan sedalam-dalamnya tanpa bersandar pada satu pencapaian peperiksaan semata-mata.

''Pencapaian menerusi satu peperiksaan besar sahaja tidak cukup untuk membuktikan PPSMI telah menemui kejayaannya.

''Kita tidak boleh tergopoh-gopoh untuk membuat satu dasar hanya berpandu pada satu kejayaan sahaja, saya sendiri berasa sangsi jika ia diteruskan tanpa ada penelitian yang lebih terperinci,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pencapaian peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini yang mencatatkan peningkatan sebanyak 51.2 peratus berbanding 21.5 peratus pada tahun 2007 bagi subjek Sains dalam Bahasa Inggeris manakala subjek Matematik naik 26.9 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2007.

Selain itu, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar juga semakin kecil terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Menurut Nik Safiah, kerajaan juga perlu mengkaji implikasi dan kesan pelaksanaan PPSMI terhadap pelajar luar bandar sekiranya ia diteruskan memandangkan masih ramai di kalangan mereka kurang berkeupayaan untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

''Berbanding di luar bandar, pelajar di kawasan bandar mempunyai pelbagai kemudahan selain pendedahan yang luas berhubung penggunaan bahasa Inggeris.

''Maka diharapkan kerajaan dapat membuat satu keputusan yang adil bagi isu ini kerana PPSMI bukan perkara main-main, ia melibatkan soal masa depan anak bangsa,'' katanya.

Sementara itu, seorang lagi tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berpendapat, kementerian wajar meletakkan matlamat dengan menumpu pada salah satu subjek sama ada bagi subjek Bahasa Inggeris atau Sains dan Matematik.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan menyasarkan matlamat supaya anak-anak berupaya menguasai bahasa Inggeris dengan baik, objektif dasar wajar memfokus pada subjek itu tanpa melibatkan subjek Sains dan Matematik.

''Soalnya mana satu yang menjadi keutamaan pihak kementerian menerusi pelaksanaan PPSMI? Mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris atau Sains dan Matematik?.

''Tidak dinafikan kedua-duanya sama penting tetapi biarlah fokus ditumpukan satu persatu supaya semua pihak tidak berasa terbeban dengan tanggungjawab masing-masing, baik golongan pendidik mahupun pelajar sendiri,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan