Friday, November 21, 2008 1:45 AM
From:
"Mohd Ramlan bin Ali"
To:
TIKedah@yahoogroups.com
Sudah lebih 3 tahun teman bekerja dengan Pos Malaysia. Semasa teman datang interview yang kedua dengan CEO ketika itu, teman mempunyai harapan yang tinggi untuk membawa perubahan kepada ‘public listed company’ yang berkait dengan kerajaan ini dengan sumbangan pengalaman teman dalam bidang logistik selama lebih 18 tahun ketika itu dengan beberapa syarikat multinasional Amerika, Jepun. German dan Swiss.
CEO pada ketika itu menggambarkan kepada teman harapannya untuk membuat perubahan kepada syarikat yang masih terbelenggu dengan pelbagai kerenah birokrasi dan manusia yang tidak suka akan angin perubahan yang lebih baik.
Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan pagi-pagi dah..... Baru nak jemur kain dah kena angkat balik sidai dalam rumah. Assignment pertama untuk teman ialah untuk menjadikan network nasional pengangkutan darat di Semenanjung Malaysia lebih effisien dan kos effektif. Berdasarkan kajian awal teman, teman dapati sebahagian besar masalah adalah masalah dengan manusia yang ada di dalam organisasi itu sendiri yang sudah ‘complacent’ dengan cara yang telah sekian lama dilaksanakan dan yang mempunyai ruang luas untuk penyelewengan berlaku yang mengakibatkan kos tinggi dan kehilangan hasil (revenue leakage) kepada syarikat.
Belum lagi 6 bulan teman berkhidmat di situ, teman telah dihujani dengan 17 surat layang kepada CEO yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka kepada teman dan juga fitnah-fitnah untuk diri teman. Pasukan penyiasat dalaman diarahkan untuk menyiasat teman dan team teman yang akhirnya juga merupakan pembaziran kepada syarikat kepada masa dan tenaga pegawai-pegawai penyiasat dan juga teman dan team teman yang disiasat.
Ini tetap tidak melemahkan teman untuk meneruskan usaha-usaha teman berdasarkan janji teman kepada CEO yang telah mengambil teman bekerja di sini. Teman tahu matlamat surat-surat layang tersebut adalah untuk membuatkan teman mengikut jejak langkah orang-orang tersebut supaya teman juga turut serta dengan aktiviti orang-orang tersebut.
Tapi berdasarkan pengalaman teman bekerja dengan Jepun semasa di Alps Electric, Nilai satu sikap yang teman tanam ialah “Never give up”. Ketika itu teman dan Jepun ini cuba memperkenalkan konsep JIT/Kanban bagi mengurangkan ruang gudang (warehouse) untuk menambah ruang pengeluaran (production) . Semasa itu teman mengurus 7 buah gudang syarikat tersebut dengan ruang seluas 240,000 kaki persegi. Kami cuba mengurangkan ruang untuk menjadi hanya 30,000 kaki persegi iaitu pengurangan sebanyak 88%.
Dalam usaha tersebut banyak rintangan yang kami berdua hadapi termasuklah tentangan dari kira-kira 250 orang operator gudang dengan sabotaj sehingga selama kira-kira 4 bulan pihak pengurusan kilang terpaksa balik pukul 11.00 malam setiap hari untuk menyediakan barangan untuk dihantar kepada pelanggan kerana boikot oleh pekerja-pekerja ini. Sehingga kereta teman yang ketika itu baru 2 bulan beli kena ketuk sampai kemek kerana marahkan perubahan yang cuba kami bawa untuk memastikan peluang pekerjaan di Malaysia dikekalkan dalam persaingan dengan China pada masa itu.
Pada hari ini perubahan yang cuba dibawa baru hendak diterima setelah menyedari saingan-saingan hebat dari syarikat-syarikat global seperti DHL, TNT dan sebagainya yang sudah mula mengancam pendapatan Pos Malaysia yang sebelum ini sebagai ‘single player’. Tapi perlukah perubahan kita buat hanya selepas kita merasa pukulannya tanpa membuat persediaan lebih awal? Seperti kata pepatah, “Mencegah lebih baik dari mengubati” atau “Prevention better than to cure”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan