Selasa, 28 Julai 2009

'Pergi jahanamlah UMNO' - Nik Aziz

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

KOTA BHARU 27 Julai - ''Salam ini bukan di antara UMNO dengan Pas, tetapi antara kerajaan Kelantan dan Pusat, tak timbul masalah UMNO ini, pergi jahanamlah UMNO.''

Demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta menjelaskan lebih mendalam mengenai 'salam' yang dihulurkan beliau kelmarin.

Malah, Mursyidul Am Pas itu tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Beliau berkata, kesediaan untuk bekerjasama disebabkan negara ini mengamalkan sistem persekutuan dan di antara kerajaan negeri atau Pusat mempunyai kewajipan masing-masing.

"Sistem yang diamalkan kita ialah federalisme, bukan kerana apa, Pusat ada kewajipan kepada negeri dan negeri ada kewajipan kepada Pusat.

"Kerana apa nak sekat (peruntukan dan kerjasama), ada menteri sekat pegawainya beri kerjasama dengan kementeriannya, ini bukan menteri," katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Ternakan sempena Hari Peladang peringkat di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan pelbagai pihak terhadap kenyataannya sebelum ini yang mahukan sebarang sengketa di antara kerajaan negeri dan Pusat diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Kenyataan itu juga disambut baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengalu-alukan kesediaan Nik Abdul Aziz untuk menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Pusat.

Nada Nik Aziz amat berbeza dengan kenyataannya pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang menyamakan UMNO sebagai tunjang utama kepada Barisan Nasional (BN) dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut mempertikaikan tindakan Kerajaan Pusat yang tidak menyalurkan terus peruntukan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan negeri ini kerana ia jelas melanggar Perlembagaan.

"Memang tidak ada dalam Perlembagaan, negeri pembangkang dihalang oleh Pusat, apa kata kalau parti lain kuasai Pusat.

"Kami juga buat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan halang peruntukan, tujuan apa tak bagi duit terus kepada kerajaan," jelasnya.

Katanya lagi, walau apa sekali pun, Kerajaan Pusat perlu membantu kerajaan negeri kerana ia termaktub dalam Perlembagaan di bawah sistem federalisme.

"Negeri ini bukan hak UMNO, kalau tak bantu, dia kena bantu negeri ini bukan dengan sukarela, tetapi dengan Perlembagaan.

"Kalau tak buat kita gulinglah. Pandailah kita guling, misal yang selalu saya kata, nak pergi ke Kuala Krai, tapi pemandu bawa bas ke Terengganu. Adakah boleh dengan riuh rendah sahaja. Kita kena tolak pemandu ambil stereng dan pandailah kita buat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan