Rabu, 22 Julai 2009

Gerhana matahari separa di Malaysia hari ini

Gerhana matahari separa akan dapat dilihat di Malaysia secara minimum pagi ini.

Gerhana matahari separa itu, yang amat sukar dicerap dengan mata kasar, akan berlaku pada 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

"Bagaimanapun hanya lebih kurang 17.8 peratus sahaja kawasan permukaan Matahari akan ditutupi oleh bulan semasa Gerhana Separa itu berlaku," kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) ANGKASA, Mhd Fairos Asillam, dalam satu kenyataan hari ini.

Kawasan Utara Semenanjung Malaysia merupakan kawasan yang terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa itu, katanya.

Dalam abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati Gerhana Matahari Separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019, katanya.

Kejadian gerhana itu berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini.

Fenomena astronomi yang juga akan berlaku esok akan dapat disaksikan oleh penduduk Bumi di mana laluan gerhana itu meliputi hampir separuh kawasan Bumi.

Mhd Fairos berkata bayangan umbra bulan (bahagian bayang yang sangat gelap) akan mula memasuki laluannya di India dan seterusnya akan melalui Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar dan China.

Apabila laluan gerhana itu melepasi benua Asia, ia akan melalui Pulau Ryukyu di Jepun dan melalui Lautan Pasifik dengan masa maksimum semasa gerhana penuh mencapai 6 minit 39 saat, katanya.

Mhd Fairos berkata ANGKASA akan menghantar tiga orang pegawai untuk membuat penyelidikan dan pengambilan data dan imej gerhana (fotografi dan videografi) semasa berlakunya fenomena gerhana matahari itu di Jinshan, Shanghai, China.

Ini kerana mengikut statistik, cuaca dan litupan awan di China lebih baik berbanding dengan kawasan lain.

Selain daripada ANGKASA, beberapa kumpulan daripada Malaysia akan turut menyertai Ekspedisi Gerhana di beberapa kawasan di China antaranya Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Falak Syarie Malaysia, Stargazer Scientific dan Falak Online, katanya.

Rakyat Malaysia boleh bersama-sama menyertai dan menikmati Gerhana Matahari Penuh itu esok dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.saros.org/index.html, www.liveeclipse.org dan www.eclipsetv.com. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan