Jumaat, 24 Julai 2009

Nizar nafi hadiri upacara nyala lilin

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

IPOH 23 Julai - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan beliau menghadiri upacara menyalakan lilin bagi memperingati Teoh Beng Hock di sini pada Jumaat lalu dan mendakwa Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang salah.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar Perak itu menegaskan, beliau hanya menghadiri sidang akhbar mengenai majlis menyalakan lilin anjuran DAP.

Ekoran itu, katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib memberikan komen atas laporan berita yang salah.

''Dia (Harun) baca Utusan Malaysia yang lapor tidak betul, jadi dia komen atas laporan yang salah. Dengar betul-betul, saya tidak kata dia buat komen yang salah tetapi buat komen atas laporan yang salah.

''Saya tidak hadir upacara pemasangan lilin itu tetapi saya cuma hadir sidang akhbar mengenai pemasangan lilin itu dan gambar yang disiarkan adalah semasa sidang akhbar tersebut di pejabat DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohammad Nizar mengulas kenyataan Harun bahawa beliau tidak sepatutnya hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan seperti laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Selain kenyataan Harun, Utusan Malaysia turut menyiarkan gambar Mohammad Nizar berdiri di sebelah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sambil memegang lilin.

Malah kata Harun, Pas sendiri telah membuat garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri para pemimpin serta ahli parti itu.

Pada masa sama, Harussani pula menyifatkan tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah haram di sisi agama kerana ia menyerupai ajaran Kristian.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, beliau tidak menyalahkan Harun, Zambry mahupun Harussani kerana membuat komen terhadapnya itu.

''Bukan salah Zambry, Mufti Perak, Dewan Ulama Pas dan bukan salah sesiapa pun yang membuat komen kerana Utusan Malaysia buat laporan fitnah.

''Saya cuma kasihan kepada mereka kerana membuat komen atas laporan berita yang tidak betul," katanya.

Mohammad Nizar berkata, pemberita yang melaporkan berita salah itu membuat fitnah besar dan beliau akan menuntutnya semasa di akhirat.

2 ulasan:

  1. "Bukan salah Zambry, Mufti Perak, Dewan Ulama Pas dan bukan salah sesiapa pun yang membuat komen kerana Utusan Malaysia buat laporan fitnah" kata Nizar

    ''Saya cuma kasihan kepada mereka kerana membuat komen atas laporan berita yang tidak betul," kata Nizar

    "pemberita yang melaporkan berita salah itu membuat fitnah besar dan saya akan menuntutnya semasa di akhirat" kata Nizar

    Kata2 dari seorang pemimpin yang bakal menjadi Pedana Menteri untuk semua anak bangsa Malaysia. SALUT kpd NIZAR.....

    BalasPadam
  2. ZAMBRY KENA PUKULAN TKO DARI TOK GURU NIK AZIZ

    Sehari dua ini Menteri Besar Mahkamah, Datuk Zambry Abdul Kadir menunjukkan kehebatannya dalam soal agama dengan meminta fatwa dari Dewan Ulama Pas tentang isu Menteri Besar Rakyat, Datuk Seri Ir Nizar Hj. Jamaludin memegang lilin berkaitan kematian Teoh Beng Hock. Sejak bila Umno berpegang dengan 'fatwa' Dewan Ulama Pas? Adakah ini satu pengiktirafan kepada Dewan Ulama Pas? Bersediakah Umno dengan 'fatwa' Pas sebelum ini bahawa Umno parti sekular, agama suku politik suku? Bersediakah Umno untuk gazetkan 'fatwa' Pas bahawa Umno menolak dan menghina Islam? Menentang hukum Islam dan bersubahabat dan bertanggungjawab luluskan lesen judi arak serta tempat maksiat di negara ini? Jawapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat terhadap permintaan Zambry ternyata ibarat senjata makan tuan.

    "Zambry ni orang politik bukan orang yang kaji Islam, apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun dia tak pakai, lagi pun keluar fatwa ni tugas mufti," ujarnya ketika diminta mengulas kenyataan Zambry yang memintanya mengeluar fatwa berhubung isu memegang lilin.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2009 di Dataran Warisan di sini semalam.
    Menteri Besar Perak sebelum ini meminta ulama PAS mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Nizar memegang lilin ketika hadir pada satu majlis di Perak Jumaat lepas.

    Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim hari ini menafikan majlis menyalakan lilin yang turut dihadiri beliau dan Nizar majlis berkabung memperingati kematian Teoh Beng Huat.

    Menurutnya gambar tersebut merupakan majlis menyalakan lilin diadakan semasa sesi sidang media 17 Julai lalu bertempat di Wisma DAP Ipoh.

    Idham juga menjelaskan amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun dan bukan amalan agama.

    Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sekiranya beliau dijemput masyarakat Hindu atau Cina ke tempat ibadat mereka, beliau akan bertanya terlebih dahulu adakah program keagamaan atau adat resam.

    "Saya kata kalau soal agama saya tak boleh pergi, tetapi adat resam atau budaya saya boleh pergi.

    "Tiap-tiap tahun anak cucu kita menyambut ulang tahun kelahiran mereka dengan memacak lilin atas kek mengikut umur.

    "Kalau setahun sebatang lilin kemudian menghembuskan, jadi lilin ni digunakan sebagai satu perkara yang simbolik terhadap sesuatu perkara lain. Begitu juga dalam masalah yang diheboh sekarang ni," ujarnya.
    Menurutnya Rasulullah saw menghantar surat pada raja-raja Mesir, Iran dan India menggunakan ayat al-Quran. Saya juga teringin nak minta fatwa dari Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria apa hukumnya tiup lilin sempena sambutan Hari lahir seperti di bawah ni.

    Apa pula komen 'ulama-ulama' di Majlis Agama Islam Melaka yang menganjurkan pertandingan 'panjut' atau pelita peringkat negeri Melaka sempena sambutan '7 likur' tahun lepas?

    http://angkasanuri.blogspot.com/2009/07/zambry-kena-pukulan-tko-dari-tok-guru.html

    BalasPadam