Jumaat, 3 April 2009

Cadangan guru berpolitik dibahaskan

PULAU PINANG 2 April - Cadangan agar guru dalam kumpulan A diberikan kelonggaran dan kebenaran terlibat dalam aktiviti politik dibuka kepada pihak berkepentingan untuk dibahaskan sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu bertujuan supaya isu itu dibincangkan sekali gus mendapatkan pandangan daripada semua pihak.

Menurutnya, cadangan tersebut adalah bersyarat dan begitu juga pandangan serta pendapat pihak lain yang tidak semestinya tepat.

''Seperti biasa, cara saya sentiasa mengizinkan mereka membahaskan perkara ini kerana dengan langkah itu bermakna kita akan membuat keputusan yang mendapat izin daripada semua pihak.

''Sebelum ini, keputusan dibuat berasaskan pandangan pihak tertentu tapi jika pandangan semua pihak diambil kira dan keputusan dibuat berlandaskan persetujuan mereka, sekurang-kurangnya orang tidak salahkan kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (RECSAM) yang turut dihadiri Pengarahnya, Dr. Azian Tengku Syed Abdullah di sini hari ini.

Hishammuddin menambah, beliau juga tidak mahu guru yang terlibat dalam politik terbawa-bawa perkara itu hingga ke sekolah kerana tanggungjawab sebagai seorang guru adalah memberikan pendidikan di sekolah.

''Namun dalam konteks kita berpolitik dengan melihat kepada kematangan demokrasi negara dan berparti, saya rasa tidak boleh elak bahawa guru main peranan begitu penting, malah UMNO diwujudkan dengan semangat mereka juga.

''Jadi saya juga bimbang kalau sekiranya semangat, komitmen, sumbangan, kesungguhan dan profesionalisme guru itu tidak diberikan ruang di peringkat parti bagi mencorak hala tujunya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan