Sabtu, 29 November 2008

Penghujung usia ...

TIKedah] Penghujung usia ...
Sunday, November 16, 2008 4:58 AM
From: 
"mohd zamri"

To: 
TIKedah@yahoogroups.com
  Jika mengetahui penghujung usia kita
Posted on Saturday, November 08 @ 21:09:39 MYT by reformis 



Oleh Ahmad Lutfi Othman
http://mindalutfi. blogspot. com/

Apa perasaan anda jika tiba-tiba diberitahu menghidap penyakit kronik, yang selalunya - berdasarkan pengalaman pesakit serupa - tidak mempunyai peluang untuk hidup lebih lama? Atau mungkinanda dapat terus menghirup udara segar, namun sudah tidak berupaya bebas bergerak, segalanya perlu dipapah dan bantu, dan hanya terlantar menanti keajaiban untuk sembuh. Allah Maha Mengetahui akhiran hidup kita.




Perhatikan sekeliling kita. Tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh. Berapa ramai anggota keluarga dan kenalan rapat pergi buat selamanya tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal. Ada teman baik yang nampak sihat, segar bugar, tiba-tiba kita mendapat khabar meninggal dunia ketika tidur. Ada saudara-mara yang baru bertemu pada hari lebaran lalu, di hening malam kita dikejutkan panggilan telefon memaklumkan diserang angin ahmar, terus koma hingga dijemput Ilahi.

Ada rakan sekerja, belum pun mencecah usia 30 tahun, berpotensi hebat dalam kerjaya, hanya mengadu sakit sekitar matanya, bila diperiksa doktor, masya-Allah, rupanya tanpa disedari sudah lama kanser bersarang. Tidak sampai dua minggu selepas itu, ajalnya tiba. Itu belum dihitung kes-kes kemalangan maut yang menyambar tanpa sebarang amaran awal. 

Sememangnya kita dituntut agar sentiasa bersedia, membuat persiapan secukupnya, bagi menghadapi maut. "Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa; dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal." (maksud al-Baqarah: 197)

Saidina Ali r.a. ketika ditanya tentang takwa menjawab: " Taqwa adalah takut kepada Allah Yang Maha Agung, melaksanakan segala perintah yang diturunkan, reda dengan nikmat yang ada meskipun sedikit dan sentiasa dalam keadaan siap sedia menghadapi maut sebelum kedatangannya. "

Soalnya, berapa ramai yang mengambil pengajaran dan iktibar daripada terkaman maut, kecuali dalam tempoh masa yang begitu singkat, untuk kemudiannya melupakan, hinggalah dikejutkan kembali dengan tragedi seterusnya. Ya, sesungguhnya, insan memang mudah alpa dan banyak pula dalehnya.

Benar, sakit merupakan nikmat, mengingatkan yang lupa, menyedarkan yang leka, dan jugasatu "cara" untuk meningkatkan martabat seseorang jika setulusnya reda dengan ujian Tuhan itu. Berapa ramai orang yang disuntik kesedaran mendalam, keinsafan seikhlasnya, hanya setelah melalui sakit dan derita berpanjangan. Tidak kurang yang mengucap syukur kerananyawa tidak direntap dengan tiba-tiba, tetapi didahului peringatan sakit, membuatkan kita sempat bertaubat, sehingga mampu merencana hidup baru dengan usia yang berbaki.

Dengan begitu banyak peristiwa yang hadir di kiri kanan, mengapa terlalu sukar untuk rasa insaf merubah gaya hidup kita? Mengapa hati ini terlalu keras untuk memerhatikan kejadian dan gerak alam untuk kita mengambil manfaat daripadanya, sebelum segalanya sudah terlambat apabila roh tercabut dari jasad? 

Perhatikan jejak usia yang ditinggalkan. Memang pantas sekali ia beredar. 40 tahun berlalu seolah-olah baru semalam dilepaskan. Masih terbayang-bayang zaman kanak-kanak di kampung. Lintasan ingatan kian segar di bangku sekolah, guru-guru yang mendidik, kawan-kawan sepermainan, ibu ayah yang menyayangi, nenek dan datuk yang mengambil berat. Satu demi satu adegan kehidupan pahit-manis bersilih ganti. Dan kerdilnya diri mengenangkan dosa dan maksiat, sambil membilang sekelumit jasa yang ditinggalkan, ya ... alangkah kecilnya.

Menginjak dewasa, kesibukan berkeluarga dan berkerjaya sering menjadi hambatan. Banyak yang dikejar umpama fatamorgana, dan kegelisahan menggapai cita-cita sukar diredakan. Segalanya seperti tidak mencukupi. Dalam keadaan itu, jika kita dapat berhenti sejenak, dan sempat bermuhasabah tentang erti hidup yang makin hilang, mungkin ia seperti satu kurniaan nikmat yang begitu hebat. 

Ramai yang bergelut hanya mencari kehidupan untuk diri sendiri. Amat kecil sumbangan untuk orang lain. Walhal sebahagian kebahagiaan adalah apabila kita dapat membahagiakan orang lain, apatah lagi mereka yang memusuhi kita. 

Ingatlah, janji dengan Allah masih banyak belum tertunai. Dosa dengan makhlukNya tidak tertebus. Sedang malaikat maut mungkin sedang mengintai di jendela. Lalu, apa jawab nurani anda jika mengetahui derap langkah kita di dunia ini menghadapi penghujungnya. "Cepat-cepatlah tulis autobiografi, " gurau seorang kawan bila mendapat tahu saya sering sakit. Saya tidak pula mengambil berat saranannya kerana ... apalah sangat yang mahu dikongsi pengalaman hidup yang mendatar-kelabu ini, dan benarkah sudah singkat benar baki usiaku!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan