Ahad, 4 Oktober 2009

Bukit Gantang : Bukti rakyat marah rampasan kuasa di Perak



BAGAN PINANG, 4 Okt - Dato' Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin dalam ucapannya di hadapan ratusan penyokong dekat Markaz Induk Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi Pilihanraya Kecil N.31 Bagan Pinang malam tadi membidas slogan yang dipopularkan oleh Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

'Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan' dan '1 Malaysia' mula dicanagkan sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia ke 5. Bagi Nizar slogan itu lebih bermakna kepada rakyat jika kerajaan bawah naungan Najib membuktikannya dan bukan hanya sekadar slogan semata.


Menyorot kronologi peristiwa rampasan kuasa di Perak, Mohd Nizar menegaskan tindakan yang dilakukan oleh BN itu ternyata membelakangkan kehendak rakyat negeri Perak.


Pilihanraya Umum yang berlangsung pada Mac tahun lalu menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS, PKR dan DAP telah diberi mandat untuk memerintah Negeri Perak.


Walaubagaimana pun, rampasan kuasa yang dilakukan BN dengan tiga orang ADUN yang mengisytiharkan diri sebagai bebas kemudiannya berpihak kepada BN setelah menghilangkan diri selama enam hari, menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru berusia sepuluh bulan di Perak tumbang.


Rakyat yang marah tindakan BN itu bertindak menzahirkan kemarahan mereka pada pilihanraya kecil Bukit Gantang yang lalu dengan mengundi calon PAS, Dato' Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin yang juga Menteri Besar Perak yang dirampas kuasanya dengan cara tidak sah.


Ini terbukti, melalui keputusan kemenangan Nizar yang hampir 85% pengundi berbangsa Cina memberikan sokongan kepadanya dan PAS.


Nizar yang kini bergelar ahli Dewan Rakyat terus mencabar Perdana Menteri untuk membuktikan bahawa slogan 'Rakyat Didahulukan' yang diperkenalkannya itu dengan membuat pilihanraya di Perak untuk mengembalikan hak rakyat Perak memilih kerajaan yang memerintah negeri.


Kes pertikaian berhubung siapa menteri besar Perak yang sah akan didengari di Mahkamah Persekutuan pada 5 November depan.

Sumber: Klik


Tiada ulasan:

Catat Ulasan