Khamis, 10 September 2009

Lagi keputusan pelik bakal kita saksikan ...

Keputusan permohonan Sivakumar diketahui 29 September

KUALA LUMPUR: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar dan enam yang lain akan mengetahui pada 29 Sept ini sama ada mereka boleh mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi di negeri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Lau Bee Lan, menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said dan peguam Sivakumar, Datuk S.Ambiga, selesai berhujah dalam satu prosiding selama dua setengah jam dalam kamar hakim hari ini.

Sivakumar, bersama tiga wakil rakyat pembangkang Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang), memohon perintah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan SPR untuk tidak mengisytiharkan sebagai kosong kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang, ekoran tindakan wakil rakyat di situ yang mengisytihar diri mereka sebagai Bebas.

Dalam pilihan raya umum lepas, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) menang sebagai calon Parti Keadilan Rakyat manakala Hee Yit Foong (Jelapang) menang atas tiket DAP.

Tindakan mereka keluar parti masingmasing untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional menyebabkan kerajaan Perak yang ketika itu diperintah oleh pakatan Pas-PKR-DAP tumbang.

Pada 3 Februari, Sivakumar memaklumkan kepada SPR bahawa ketiga-tiga kerusi itu kosong berdasarkan surat daripada ketigatiga wakil rakyat yang kononnya menyatakan mereka meletak jawatan.

SPR bagaimanapun meragui peletakan jawatan itu dan enggan mengadakan pilihan raya kecil.

Sivakumar dan enam pihak itu memohon perintah bahawa kerusikerusi berkenaan adalah kosong dan memohon injunksi bagi menghalang Jamaluddin, Osman dan Hee daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Dalam prosiding hari ini, Kamaludin menolak dakwaan Sivakumar yang beliau mempunyai kuasa untuk mengisytihar ketiga-tiga kerusi itu sebagai kosong mengikut Perkara 35 Undan-gUndang Tubuh Perak.

Katanya Perkara 35 tidak memberi kuasa kepada Speaker untuk membuat keputusan sedemikian kerana peruntukan itu sekadar merujuk kepada seseorang anggota dewan undangan negeri untuk meletak jawatan.

Beliau berkata hak itu tertakluk kepada Perkara 36 (5) yang menetapkan bahawa SPR seharusnya menentukan sama ada terdapat kekosongan.

Ambiga pula berhujah bahawa SPR gagal untuk menyatakan asas dan prosedur yang digunanya untuk membuat keputusan untuk tidak mengisytiharkan kerusi-kerusi itu kosong.

Katanya SPR tidak memberikan keputusan yang jelas kerana suruhanjaya itu sekadar menyatakan ia tidak pasti sama ada berlaku kekosongan atau tidak. BERNAMA

1 ulasan:

  1. DR ABDUL RANI KAMARUDDIN MENJELASKAN KEKELIRUAN YB SIVA MENGENAI KEPUTUSAN YAA HAKIM !

    Nota : Semalam setelah YAA Hakim menolak dengan kos saman bekas Speaker DUN Perak YB Siva, mengulas keputusan ini dengan mengatakan ia keliru dan tidak faham dengan keputusan YAA Hakim Dato Azhar dengan alasan bahawa dalam kes terdahulu kes DUN Perak katanya mahkamah ada mencampuri urusan DUN tetapi sekarang YAA Hakim katakan ia tidak boleh campur tangan urusan DUN.
    Jadi Dr Abdul Rani Kamaruddin , Pensyarah Undang-Undang UIAM menjelaskan hal tersebut agar YB Siva dan mereka yang serupa dengannya tidak lagi keliru atau sengaja nak mengelirukan diri sendiri dan orang lain.
    Ulasan Dr Abdul Rani Kamaruddin :
    Masih ada sesetengah pihak yang dan masih enggan faham perbezaan sidang dan tempat sidang yang mendapat perkenan Tuanku dengan yang tidak mendapat perkenan Tuanku. Yang dibuat di bawah pokok atau di hotel itu, itu sendiri yang pandai-pandai maka prosidng DUN konon itu tidak memperolehi kekebalan.
    Sidang 7 Mei berbeza kerana ianya sah sebab adanya perkenan Tuanku. Dengan yang demikian, prsidingnya dan mereka yang terlibat dalam prosiding itu pun mendapat kekebalan.Kini giliran Ganesan pula selaku Speaker jika dia mahu, merujuk bekas Speaker dan kuncu-kuncunya kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.
    PT 1 (Perintah Tetap DUN) mengatakan “maka Setiaus... PT 1 (Perintah Tetap DUN) mengatakan “maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat..”.
    “PT 10 (1) mengatakan “ Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta,
    ” Maka jika tiada perkenan Sultan, jangan nak kata sidang DUN didewan itu boleh sah, apatahlagi dibawah pokok.Dalam Artikel 72 Perlembagaan, Persekutuan kesahan suatu prosiding DUN tidak boleh dicabar diMahkamah.
    Persoalannya, pertama dan utama, adakah sidang yang dibuat itu pada mulanya sah atau keputusan yang dibuat semasa DUN bersidang? Jika DUN bersidang dengan sah (mendapat perkenan Sultan) maka Artikel 72 terpakai. Jika tidak tiada kekebalan disisi undang2 termasuk pendakwaan.selebihnya carilah sendiri.
    Dr Abdul Rani Bin Kamarudin
    PENSYARAH UNDANG-UNDANG UIAM
    bacalah undang-undang. baca dan bukan belajar undang-undang. undang-undang perlu dibaca.

    September 10, 2009 4:13 PM

    BalasPadam