TIGA jam sebelum Menteri Kewangan, Mohd Najib Razak membentangkan bajet mininya di Parlimen jam 4:00 petang semalam, berlangsung satu peristiwa diluar jangka yang penuh tandatanya, iaini Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi duduk serumah dan makan tengah hari bersama Anwar Ibrahim.
Peristiwa bersejarah ini berlaku di Madrasah Nurui Iman, Hulu Langat, Selangor. Abdullah dan Anwar sama-sama hadir pada majlis sambutan Maulid Rasul dan Sambutan Tamat Latihan Kerohanian 40 tahun Syeikh Mahmud Al-Majzub, dan menjadi tetamu kehormat mundir madrasah berkenaan.
Kehadiran Anwar hari ini memang dinanti-nantika oleh kira-kira 1,000 hadirin dan para jemputan termasuk para ulama dari Asia Tenggara, sebaliknya kedatangan Abdullah secara tiba-tiba itu benar-benar mengejutkan.
Abdullah dijangka hadir ke madrasah berkenaan esok untuk merasmi persidangan dan pertemuan para ulama. Kehadiran Abdullah lewat tengah hari ini menjadi tanda tanya sebab pada waktu sama jemputan khasnya ialah Anwar Ibrahim.
Abdullah tiba lebih awal dari Anwar, iaitu jam 12:18 tengah hari manakala Anwar bersama isterinya, Wan Azizah Ismail tiba kira-kira 20 minit kemudian. Kedua mereka dibawa naik ke rumah Syeikh Mahmud untuk makan tengah hari sama-sama.
Abdullah dan Anwar berada di dalam rumah berkenaan hampir 1 jam setengah. Mereka keluar dari rumah berkenaan untuk mendirikan solat Zohor bersama jam 1:40 petang.
Difahamkan semasa di dalam rumah Syeikh Mahmud, pertemuan enam biji mata berlangsung antara Abdullah, Anwar dan Syeikh Mahmud. Satu perundingan juga dikatakan berlaku dengan Syeikh Mahmud menjadi perantaranya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan