Thursday, November 27, 2008 1:36 AM
From:
"mohd zamri"
To:
TIKedah@yahoogroups.com
Oleh ummuabbas
"‘ Pian, ingat malam ni… di Lokasi 1’
‘ Ha..ah… apa hadiah malam ni..’ Pian menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil tangan ber’sms’ dengan seseorang.
‘Malam ni hadiah besar tau... ye lah malam Jumaat tentu lumayan. $$$ dan pompuan ler... apa lagi.’
‘Set... nanti aku datang.’
Dialog seperti di atas mungkin satu kebiasaan di kalangan remaja lelaki kita yang suka berlumba motor. Atau kita gelarkan mereka sebagai Mat Rempit. Berlumba merupakan satu keseronokan bagi manusia. Apatah lagi jika kita memenangi perlumbaan tersebut. Dapat hadiah pula. Sebut apa sahaja jenis perlumbaan, setiap insan tidak dapat lari dari kehidupan berlumba-lumba.
Lumba lari, lumba kuda, lumba renang, lumba kereta, lumba kumpul harta, lumba kumpul isteri, lumba mendapatkan pangkat dan pengaruh, lumba menjadi cantik dan ‘handsome’, lumba bergaya siapa paling anggun, lumba membesarkan rumah, serta seribu satu macam lagi perlumbaan.
Sifat suka berlumba merupakan fitrah manusia. Fitrah berlumba ini kali pertama dapat dikesan ialah di alam rahim yang mana beribu-ribu sperma berlumba-lumba mengejar satu ovum. Beribu-ribu sperma ini Allah jadikan berekor yang mana ia dititipkan ke dalam sel pembiakan lelaki. Manakala telur ovum dititipkan ke dalam ovari wanita. Hanya sperma yang berjaya menembusi dinding ovum yang dapat melepaskan kromosomnya ke dalam ovum, yang mana kedua-dua kromosom akan bercantum untuk membentuk zigot. Zigot ialah istilah bagi ovum yang telah dipersenyawakan oleh sperma. Zigot ini seterusnya membesar dengan izin Allah hingga menjadi janin. Janin yang dilahirkan itu akhirnya menjadi diri kita hari ini. Maha suci Allah yang menciptakan. Maha bijaksana Allah yang mengurniakan kehidupan pada kita saat dan ketika ini.
Allah yang menciptakan kita, manusia dalam keadaan lemah. Terdiri daripada sel-sel halus yang hanya mampu dilihat menggunakan mikroskop. Namun Allah yang maha kuat membekalkan daya kepada sel sperma berusaha memperjuangkan kehidupannya sendiri. Seterusnya Allah tiupkan ruh. Nikmat ruh yang maha agung itu menyebabkan kita berjaya dalam perlumbaan pertama kita untuk hidup.
Fitrah berlumba itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Manusia dengan segala kudrat yang terhad berlumba dalam pelbagai bentuk dan jenis sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Jadi tidak hairan bila melihat Mat-mat Rempit begitu teruja menonjolkan gaya berlumba masing-masing. Mungkin mereka dapati ibubapa, polis dan masyarakat sekeliling tidak memahami minat mereka. Namun sedarilah Allah sangat tahu. Allah amat memahami kegemaran kita dan kesukaan kita sebagai hambaNya kerana Dialah yang mencipta fitrah seiring terbentuknya jasmani kita.
Allah yang bersifat maha penyayang tidak pernah menyekat secara mutlak fitrah yang dibekali dalam diri kita, hamba ciptaanNya. Bahkan Allah membimbing bagaimana fitrah itu harus dimanfaatkan bagi mengelakkan kesan negatif pada manusia. Sama ada pada tubuh badan, akal dan jiwa. Dalam konteks fitrah suka berlumba, Allah menyebut dalam ayat 148 surah al-Baqarah, ‘Bagi setiap ummat ada kiblat yang masing-masing menghadapnya, maka berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan. Di mana sahaja kamu berada, Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’
Seiring naluri semulajadi manusia, Allah berikan keinginan berbuat baik dan keinginan berbuat jahat bagi menguji manusia. Allah sudah punya malaikat yang berterusan mentaatiNya. Allah juga sudah punya iblis yang ‘confirm’ menderhaka sampai kiamat. Jadi, satu lagi Allah jadikan manusia dan jin dengan keupayaan memilih antara dua jalan. Taat atau derhaka. Kalau taat, kita untung dunia akhirat. Kalau derhaka, kita rugi dunia akhirat. Allah tidak terkesan apa-apa dengan perbuatan kita. Namun sebagai zat yang maha pengasih, Allah menyeru kita agar ‘berlumba’ mengumpulkan kebaikan. Seorang kekasih tentunya mahu yang dikasihi bahagia selama-lamanya. Begitu jua Allah yang amat sayangkan hambaNya yakni kita.
Antara kebaikan yang utama ialah mendirikan solat dalam ertikata solat yang khusyuk. Berpuasa bulan Ramadan. Taat kedua ibubapa dalam perkara kebajikan. Memelihara hubungan dengan jiran tetangga. Seterusnya tidak membahayakan diri sendiri dan orang ramai dengan apa cara sekalipun. Waimma dadah, arak, judi, mengumpat, menfitnah, mendedahkan aurat, rasuah, pergaulan bebas, berlumba motor di tengah jalan awam dan lain-lain.
Allah memotivasi lagi supaya berlumba dalam ayat 48 surah al-Maidah,
‘..... Kami adakan untuk tiap-tiap umat di antara kamu satu syariat dan satu jalan. Kalau Allah kehendaki nescaya Dia jadikan kamu satu umat tetapi Dia hendak menguji kamu tentang apa yang disampaikan kepadamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu melakukan kebaikan. Kepada Allah jua tempat kamu semua kembali, lalu Allah memberitahu kamu tentang apa yang kamu perselisihkan.’
Sifat gemar memenangi perlumbaan juga merupakan fitrah atau naluri setiap insan. Ayat 32 dari surah Faatir menyebut, ‘ Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)’ . Mendahului orang lain di sini maksudnya memenangi perlumbaan berbuat baik. Kawan-kawan belum buat. Kita sudah laksanakan dengan rasa rendah diri kerana kemampuan tersebut adalah dengan izin Allah jua.
Kalau Mat Rempit berbangga dengan hadiah wang ringgit dan perempuan murahan. Cuba lihat tawaran dan janji Allah bagi mereka yang juara berbuat baik melalui ayat 33 surah Faatir,’ (Balasan mereka ialah) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan memasukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.’
Lihatlah pula apa janji Allah untuk memenuhi fitrah lelaki yang sukakan perempuan di dalam ayat 25 surah al-Baqarah, ‘... dan disediakan untuk mereka dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.’
‘Isteri-isteri yang sentiasa bersih dan suci.’ Isteri-isteri. Maksudnya ramai. Bukannya seorang. Sesuai sangat dengan selera lelaki yang sukakan ramai perempuan.
‘Bersih dan suci.’ Maksudnya bukan perempuan murahan bekasan si fulan dan si fulan. Bahkan semuanya dara sentiasa. Kecantikannya pula yang tidak pernah dilihat. Bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran.
‘Mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.’ Maksudnya hadiah syurga itu akan digazetkan sebagai milik kekal kita selama-lamanya. Bukannya sekadar menikmatinya seketika sebagaimana habuan dunia yang sementara.
Kalau Mat Rempit mampu bersabar dikejar polis dan dicerca masyarakat sekadar mengejar sepicis habuan dunia yang sementara, sudah tentu mereka lebih sanggup bersabar berlumba-lumba melakukan kebaikan demi ganjaran syurga yang menanti!
Lihat apa kata mereka yang jadi juara dalam perlumbaan taat, ‘ Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat). Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan anugerahNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ dan Kami juga tidak akan merasa letih lesu.’ Ucapan ini dirakamkan di dalam ayat 34 dan 35 surah Faatir.
Fikir-fikirkan. ..!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan