Memaparkan catatan dengan label Krisis Perak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Krisis Perak. Papar semua catatan

Selasa, 20 Oktober 2009

Tahniah UMNO!!!

One Malaysia dilancarkan di Perak. Negeri bergelora sejak Mac 2008. Gelora di Perak dirasai tempiasnya seluruh dunia. Pemerhati politik dan wartawan antarabangsa menjadikan Perak sebagai destinasi persinggahan hinggakan pokok yang dah lama bertapa di Medan istana disiar ke seluruh dunia gara gara sidang bawah pokok.

PR telah lama mendesak agar DUN Perak dibubar susulan rampasan kuasa kerajaan Kudeta BN . Kuasa rakyat dirogol dengan ganas tanpa simpati terhadap rakyat. Kerajaan kudeta yang berslogan Rakyat diutamakan itu tahu sengsara rakyat Perak angkara perbuatan rakus mereka namun nafsu serakah gila kuasa telah menguasai mereka. Slogan rakyat diutamakan adalah topeng puaka yang dipakai najib bagi menutup wajah hodoh kerajaan pimpinannya.

Ketika One Malaysia dilancarkan di Ipoh, rakyat keliru adakah ianya anjuran kerajaan atau umNO kerana lambang umNo tertera jelas. Namun wang yang digunakan mustahil milik umNO. 1500 buah bas disewa khas ke pelusuk kampung untuk mengangkut warga Perak. Ketika melalui Tol Ampang saya tersekat gara gara bas yang bersusun walaupun ketika itu maghrib telah masuk. Saya terlepas takbir awal gara gara bas sewa.

Di fahamkan setiap pelajar yang diangkut akan dibayar rm 10 setiap seorang. Saya terlepas detik malam tadi kerana ada dua program yang terpaksa dihadiri. Kalau tidak tentu himpunan raksasa robot upahan akan saya kongsi bersama. itulah yang difahami sebagai gelombang pilihanraya Perak yang akan berlangsung bila bila masa. Ada yang meramalkan melalui mangkuk putih tarikhnya ialah 28 November... Saya juga cuba meramal, namun belalang yang saya cari di padang tidak saya temui...

Mengikut maklumat yang diterima umNo negeri telah bersedia menghadapi pilihanraya yang dituntut. Ketika PR melalak menuntut pilihanraya negeri, umNo buat perangai lembu kenyang. Kita menyangka mereka tak peduli, rupa rupanya mereka merancang dan bekerja. Sebahagian kita sibuk melalak mencabar tanpa kerja namun mereka membina kekuatan. Difahamkan dari senarai terbaru yang dipamerkan SPR, lebih kurang 50 ribu pengundi baru telah di daftar. Hebat!!! Maklumat PR menyatakan kita hanya mendaftar sekitar beberapa ratus orang melalui agen yang dilantik. Siapa yang mendaftar mereka... itulah kerja licik umNO dengan tangan SPR.

Apapun perkembangan ini semakin menarik perhatian. umNO telah mencurah projek dari kerajaan pusat. Belanjawan negeri akan dibentang 28 Oktober ini. PR mesti waspada dengan perangkap 28 oktober.

Saya sangat yakin peristiwa 28 oktober akan dicatur dengan pengarahan terbaik bagi memberi gambaran buruk PR di Perak. Di harapkan PR memberi perhatian persidangan kali ini bukan hanya untuk tunjuk kita berani, tetapi MESTI WASPADA dengan perangkap yang telah sedia di pasang begitu rupa... Percayalah... 28 Oktober akan menjadi detik bersejarah permulaan pembubaran DUN Perak...jikaPR tersalah langkah menangani situAsi di hari tersebut

Sumber: Klik

Mengapa Pakatan Rakyat dijatuhkan di Perak?

Sila baca di sini : Klik versi Bahasa Inggeris : Klik

Baca ... jangan tak baca!


Tuduh PR ganggu sidang Dun, Nizar selar kenyataan Najib

Ahad, 4 Oktober 2009

Bukit Gantang : Bukti rakyat marah rampasan kuasa di Perak



BAGAN PINANG, 4 Okt - Dato' Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin dalam ucapannya di hadapan ratusan penyokong dekat Markaz Induk Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi Pilihanraya Kecil N.31 Bagan Pinang malam tadi membidas slogan yang dipopularkan oleh Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

'Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan' dan '1 Malaysia' mula dicanagkan sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia ke 5. Bagi Nizar slogan itu lebih bermakna kepada rakyat jika kerajaan bawah naungan Najib membuktikannya dan bukan hanya sekadar slogan semata.


Menyorot kronologi peristiwa rampasan kuasa di Perak, Mohd Nizar menegaskan tindakan yang dilakukan oleh BN itu ternyata membelakangkan kehendak rakyat negeri Perak.


Pilihanraya Umum yang berlangsung pada Mac tahun lalu menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS, PKR dan DAP telah diberi mandat untuk memerintah Negeri Perak.


Walaubagaimana pun, rampasan kuasa yang dilakukan BN dengan tiga orang ADUN yang mengisytiharkan diri sebagai bebas kemudiannya berpihak kepada BN setelah menghilangkan diri selama enam hari, menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru berusia sepuluh bulan di Perak tumbang.


Rakyat yang marah tindakan BN itu bertindak menzahirkan kemarahan mereka pada pilihanraya kecil Bukit Gantang yang lalu dengan mengundi calon PAS, Dato' Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin yang juga Menteri Besar Perak yang dirampas kuasanya dengan cara tidak sah.


Ini terbukti, melalui keputusan kemenangan Nizar yang hampir 85% pengundi berbangsa Cina memberikan sokongan kepadanya dan PAS.


Nizar yang kini bergelar ahli Dewan Rakyat terus mencabar Perdana Menteri untuk membuktikan bahawa slogan 'Rakyat Didahulukan' yang diperkenalkannya itu dengan membuat pilihanraya di Perak untuk mengembalikan hak rakyat Perak memilih kerajaan yang memerintah negeri.


Kes pertikaian berhubung siapa menteri besar Perak yang sah akan didengari di Mahkamah Persekutuan pada 5 November depan.

Sumber: Klik


Selasa, 29 September 2009

Tangguh lagi .... aku dah agak dah ...

Keputusan semakan kehakiman bekas Speaker DUN Perak ditangguh

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menangguhkan keputusan permohonan semakan kehakiman bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak atas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengosongkan dan mengadakan pilihan raya kecil tiga DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang ke 22 Oktober. - Utusan

Catatan: Depa tengah cari akai nak buat keputusan lagu mana .... nak ikut sapa ? Ada tangan ghaib ka?

Isnin, 14 September 2009

Kes lagu ni pun ada ...

Ketua kampung Ara Payung, Batu Gajah dikatakan mengamuk apabila tazkirah disampaikan selesai solat tarawih di surau kampung tersebut. Surau dikampung itu memang kebiasaannya tiada tazkirah yang disampaikan sepanjang bulan Ramadhan ini. Apabila jemaah meminta tazkirah disampaikan selesai solat tarawih pada malam itu, ketua kampung tiba-tiba naik angin pulak. Apatah lagi penyampai tazkirah itu adalah seorang yang amat istimewa bagi jemaah surau tersebut pada malam itu.

Kisahnya bermula apabila surau tersebut mengadakan penyampaian sumbangan raya kepada fakir miskin dikampung Ara Payung oleh Dato Seri Nizar sebelum solat Isyak dimulakan.

Walaupun telah diumumkan bahawa Dato Seri Nizar telah diminta mengimami solat isyak dan tarawih, imam surau meluru laju kedepan untuk menghalang Dato Seri Nizar menjadi imam solat isyak.

Tapi, selessai solat isyak, Dato Seri Nizar telah sekali lagi diminta menjadi imam solat tarawih. Kali ini, tiada gangguan daripada mana-mana pihak.

Sebaik sahaja selesai solat tarawih, selawat dan salam terus dilagukan menandakan tamat solat pada malam itu. Sekali lagi diumumkan bahawa Dato Seri Nizar diminta menyampaikan tazkirah. Kesemua jemaah kembali duduk untuk mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Dato Seri Nizar.

Dimasa inilah kedengaran ketua kampung mengamuk dibahagian belakang surau dan amukannya yang kuat dan mengugut untuk membuat aduan kepada pihak polis didengari oleh semua jemaah surau itu.

Atas dasar apa beliau hendak melaporkan perkara ini kepada pihak polis? Apakah pertuduhan yang hendak dibuat?

Mungkin juga kerana menghasut? Dato Seri Nizar telah menghasut para jemaah surau tersebut sehinggakan ketua kampung naik berang dan mengamuk.

Apa yang dihasut oleh Dato Seri Nizar kepada jemaah surau? Dato Seri Nizar telah dikatakan bersalah menghasut para jemaah untuk MENGINGATI ALLAH DAN MEMPERBANYAKKAN AMAL IBADAH DIBULAN RAMADHAN YANG MULIA INI.

Kepada ketua kampung Ara Payung tersebut, jika itulah alasan anda untuk membuat laporan polis, SILAKAN...

Sumber: Klik

Sabtu, 12 September 2009

FACEBOOK PALSU YB DS MOHAMMAD NIZAR JAMALUDDIN

Asalamu'alaikum. Selamat melaksanakan ibadat puasa dan salam aidil fitri.


Adalah dimaklumkan bahawa terdapat beberapa usaha nakal kecilan dari sesetengah kalangan pelayar yang telah memalsukan serta menyamar satu laman Facebook yang kononya dari kepunyaan saya diatas nama saya (MOHAMMAD NIZAR BIN JAMALUDDIN) dan menggunakan alamat email seperti berikut "nizar.mb.perak@gov.my". Facebook ini diurus oleh pihak yang tiada kena mengena dengan saya dan saya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana mana individu atau institusi untuk tujuan tersebut.

Disyaki penyamar tersebut menggunakan alamat email pentadbiran kerajaan Perak DR yang memuatkan maklumat peribadi dan profile rasmi saya serta penulisan dan perakuan yang cuba untuk mengaibkan saya. Berita serta rencana yang dipos berunsur fitnah dan kesemuanya palsu. Oleh itu melalui blog rasmi saya ini saya menafikan sekeras-kerasnya paparan dari Facebook tersebut yang jelas dan terang bertentangan dengan peradaban dan budaya akhlak Islam. Ianya bukan dari sumber saya.

Saya memohon supaya yang bertanggungjawab membuat fitnah ini berhenti dan sebaliknya paparkan berita benar untuk mendapat sedikit keredhaan Ilahi dari menyebarkan kepalsuan dan kebatilan mengenai diri saya. Usaha sedang dibuat dengan pengurusan Facebook supaya memadamkan laman palsu tersebut. Ianya terang-terangan cuba mencemarkan imej serta integriti saya.

Saya sedia memaafkan angkara ini dari sesiapa saja yang menyamar dan mari kita sama mencari sedikit keredhaan Allah SWT dalam bulan Ramadzan ini serta pengampunan dari NYA.

Selamat menyambut hari lebaran Aidil Fitri, maaf zohir dan batin.
HIDUP RAKYAT!! BUBAR DUN PERAK!!!

YB DS Mohammad Nizar bin Jamaluddin.

Sumber: Klik


Khamis, 10 September 2009

Lagi keputusan pelik bakal kita saksikan ...

Keputusan permohonan Sivakumar diketahui 29 September

KUALA LUMPUR: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar dan enam yang lain akan mengetahui pada 29 Sept ini sama ada mereka boleh mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi di negeri itu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Lau Bee Lan, menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said dan peguam Sivakumar, Datuk S.Ambiga, selesai berhujah dalam satu prosiding selama dua setengah jam dalam kamar hakim hari ini.

Sivakumar, bersama tiga wakil rakyat pembangkang Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang), memohon perintah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan SPR untuk tidak mengisytiharkan sebagai kosong kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang, ekoran tindakan wakil rakyat di situ yang mengisytihar diri mereka sebagai Bebas.

Dalam pilihan raya umum lepas, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) menang sebagai calon Parti Keadilan Rakyat manakala Hee Yit Foong (Jelapang) menang atas tiket DAP.

Tindakan mereka keluar parti masingmasing untuk memberi sokongan kepada Barisan Nasional menyebabkan kerajaan Perak yang ketika itu diperintah oleh pakatan Pas-PKR-DAP tumbang.

Pada 3 Februari, Sivakumar memaklumkan kepada SPR bahawa ketiga-tiga kerusi itu kosong berdasarkan surat daripada ketigatiga wakil rakyat yang kononnya menyatakan mereka meletak jawatan.

SPR bagaimanapun meragui peletakan jawatan itu dan enggan mengadakan pilihan raya kecil.

Sivakumar dan enam pihak itu memohon perintah bahawa kerusikerusi berkenaan adalah kosong dan memohon injunksi bagi menghalang Jamaluddin, Osman dan Hee daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Dalam prosiding hari ini, Kamaludin menolak dakwaan Sivakumar yang beliau mempunyai kuasa untuk mengisytihar ketiga-tiga kerusi itu sebagai kosong mengikut Perkara 35 Undan-gUndang Tubuh Perak.

Katanya Perkara 35 tidak memberi kuasa kepada Speaker untuk membuat keputusan sedemikian kerana peruntukan itu sekadar merujuk kepada seseorang anggota dewan undangan negeri untuk meletak jawatan.

Beliau berkata hak itu tertakluk kepada Perkara 36 (5) yang menetapkan bahawa SPR seharusnya menentukan sama ada terdapat kekosongan.

Ambiga pula berhujah bahawa SPR gagal untuk menyatakan asas dan prosedur yang digunanya untuk membuat keputusan untuk tidak mengisytiharkan kerusi-kerusi itu kosong.

Katanya SPR tidak memberikan keputusan yang jelas kerana suruhanjaya itu sekadar menyatakan ia tidak pasti sama ada berlaku kekosongan atau tidak. BERNAMA

Jumaat, 4 September 2009

Sekat pilihanraya kecil tindakan luar biasa- Peguam

KUALA LUMPUR 4 Sept. — Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertindak di luar bidang kuasa dan peranannya kerana enggan mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Perak, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Peguam, Datuk S.Ambiga menyifatkan sebagai tidak sah dan tidak rasional keputusan SPR bahawa ketiga-tiga kerusi itu tidak kosong akibat pelantikan jawatan ketiga-tiga penyandangnya seperti yang diputuskan oleh Speaker ketika itu, V.Sivakumar.

“Responden keempat (SPR) telah mengambil kuasa dan hak Speaker bagi menentukan bahawa peletakan jawatan berlaku,” katanya di hadapan Hakim Lau Bee Lan di kamar.

Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam, berhujah mewakili Sivakumar dalam permohonannya bagi satu semakan kehakiman untuk mengarahkan SPR supaya mengisytiharkan kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang kosong dan mengadakan pilihan raya kecil.

Sivakumar menamakan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu, Adun Jelapang, Hee Yit Foong, dan SPR sebagai responden.-Bernama

Isnin, 31 Ogos 2009

Nizar: Sidang DUN Perak tetap diadakan Rabu ini

Sivakumar merupakan Speaker sah, tiada pihak harus halangnya

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan tetap diadakan Rabu ini walaupun disifatkan sebagai tidak sah oleh Speaker diiktiraf Barisan Nasional (BN), kata bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Sidang DUN Perak akan diadakan seperti yang telah ditetapkan dan sebagaimana notis yang telah dikeluarkan sebelum ini," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Jelas Nizar, sidang DUN akan tetap diteruskan sebagimana telah dimaklumkan oleh V. Sivakumar "selaku Speaker yang sah" dalam notisnya.

"Sivakumar merupakan Speaker yang sah. (Datuk) Ganesan bukan Speaker," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan ADUN Pasir Panjang.

Oleh itu kata Nizar, Ganesan tidak boleh menghalang mana-mana ADUN daripada menghadiri sidang kali ini.

Ketika ditanya kemungkinan akan ada usaha menghalang sidang yang dimaksudkan itu sebagaimana pernah disaksikan 3 Mac lalu, Nizar memberitahu, usaha sedang diambil oleh Sivakumar untuk mengelakkan suasana sedemikian.

"YB Sivakumar sudah memohon kepada mahkamah agar dikeluarkan satu perintah bagi menghalang mana-mana pihak eksekutif daripada mengadakan halangan," katanya.

Permohonan itu telah dibuat baru-baru ini dan diharap keputusan akan diperoleh Selasa ini, katanya lagi.

Semalam, Datuk R. Ganesan, Speaker yang diiktitaf Barisan Nasional (BN) berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak perlu menghadiri persidangan dewan yang dipanggil pada Rabu ini kerana arahan yang dikeluarkan adalah daripada sumber tidak sah.

Ganesan menegaskan, tindakan Sivakumar yang juga ADUN Tronoh memanggil sidang itu adalah pelik kerana beliau bukan lagi Speaker.

Menurut Nizar, notis untuk mengadakan sidang DUN perlu dikeluarkan 14 hari sebelum persidangan dan ia "telah diterima lebih awal daripada itu."

Pada Mei lalu, Sivakumar mengeluarkan notis sidang DUN tergempar 11 hari lebih awal sebagaimana sah diperuntukkan undang-undang, Perintah Tetap Dewan Negeri (PT)8(1).

Bagaimanapun ia dihalang dan terpaksa mengadakan sidang di bawah pokok berhampiran DUN.

Sumber: klik

Selasa, 30 Jun 2009

Permohonan Nizar Panel penuh 11 hakim -- Mahkamah Persekutuan tolak tanpa sebab


Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya panel lima hakim akan mendengar rayuan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membatalkan pengisytiharaan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar negeri itu.

Peguam Nizar, Leong Cheok Keng berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan permohonan anggota panel penuh 11 hakim.

"Surat yang difaks ke firma saya semalam (kelmarin), jawapan kepada permintaan kami ialah (panel) Mahkamah Persekutusan hanya akan terdiri daripada lima orang hakim.


"Tiada alasan atau penjelasan diberikan atas penolakan (permohonan) itu," kata beliau dalam kenyataan yang diemelkan petang semalam.

Minggu lalu, Nizar menekankan bahawa panel 11 hakim itu amat perlu memandangkan rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap mahkamah untuk menyampaikan keputusan adil dan saksama bagi menyelesaikan krisis politik Perak.

Sehubungan itu, Leong memberitahu:

“Barisan anggota penuh adalah penting untuk mengembalikan keyakinan terhadap sistem kehakiman bahawa tiada amalan "memilih hakim" selain memastikan kebebasan menyeluruh, penolakan permohonan adalah sesuatu yang amat mengecewakan rakyat Malaysia.”

Leong berkata, beliau akan menasihatkan Nizar agar mempertimbangkan dengan serius untuk tidak meneruskan permohonan tanpa manfaat panel hakim rayuan yang lebih besar.

"Pada masa yang sama, saya akan menulis kepada mahkamah agar mempertimbangkan permohonan menambah panel dan juga sebab-sebab permohonan mereka telah ditolak," katanya.

Isnin, 22 Jun 2009

Kisah Nizar dihalau selepas angkat sumpah di Dewan Rakyat


Irwan Muhammad Zain

Tidak sampai lima minit berada dalam Dewan Rakyat, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dihalau keluar kerana melaungkan "bubar Dewan Undangan Negeri".

Nizar pada 15 Jun lalu hadir ke Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Bukit Gantang selepas memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya kecil pada 7 April lepas setelah ia kosong akibat kematian wakil rakyat PAS di situ, Roslan Shaharum.

Beliau yang meminta keizinan berucap tentang krisis politik Perak dari Speker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Nizar kemudiannya memakai lilit kepala bertulis 'Bubar Dun' sebelum melangkah ke tempat duduknya. Namun bentara dewan menghalang beliau dari duduk dan speaker memberikan arahan supaya beliau keluar kerana gagal mengikut etika berpakaian dalam dewan.

Nizar terpaksa menanggalkan lilitannya sebelum kembali ke tempat duduk beliau di blok "F".

Bagaimanapun Nizar terus diminta keluar Dewan Rakyat ketika beberapa wakil rakyat pembangkang turut mengenakan lilitan tersebut. Ada wakil rakyat yang mengikat pada kepala dan ada yang memakai pada lengan masing-masing.

Malah Dewan Rakyat juga mengarahkan sekumpulan tetamu yang hadir, dipercayai penyokong Pakatan Rakyat dari Perak yang turut memakai lilitan "Bubar DUN", keluar.

Turut sama diarah keluar bersama Nizar ialah lima lagi ahli Parlimen Dato' Mahfuz Omar (Pokok Sena), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr Zulkifly Ahmad (Kuala Selangor), Ngeh Khoo Ham (Beruas), Nga Kor Ming (Taiping) dan N Gobalakrishnan (Padang Serai).

Mahfuz pula berhujah dengan Speaker bahawa beliau hanya mengenakan lilitan di lengan dan harus dibenarkan.

Beliau kemudian meninggalkan Dewan Rakyat.

Mereka bertujuh turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Mohammad Nizar bersama Nga dan Ngeh - kedua-duanya bekas exco kerajaan Pakatan Perak - antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut dikembalikan kerajaan yang mereka pernah kuasai sejak Mac tahun lalu.

Nizar bertindak demikian sebagai tanda komitmen beliau dalam menuntut supaya Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Sebaik keluar dari dewan, Nizar bersama enam lagi wakil rakyat mengadakan sidang media untuk menjelaskan apa yang berlaku kepada wartawan.

Turut sama dalam sidang media itu, beberapa wakil rakyat pembangkang yang lain yang memberikan sokongan terhadap kempen membubarkan Dun Perak.

Tindakan pengawal keselamatan yang mengarahkan beberapa penyokong Pakatan Rakyat menanggalkan lilitan kepala seterusnya membawa mereka keluar dari parlimen membuatkan sidang media Nizar bersama enam ahli parlimen itu kecoh seketika.

Melihat tindakan pengawal keselamatan yang bertindak seolah-olah penyokong Pakatan Rakyat membuat kekecohan, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad terus menegur mereka.

"Kepada pihak keselamatan jika ada yang ingin membuat apa-apa tindakan sila tunjukkan arahan dari pihak pengurusan. Jangan jadikan parlimen ini seperti rumah kamu," tegur beliau.

Terkejut dengan teguran keras Khalid itu, pengawal keselamatan tersebut terdiam dan terus meninggalkan tempat diadakan sidang media itu.

Bagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob tindakan menghalau ahli parlimen Pakatan Rakyat hanya kerana memakai lilitan kepala yang bertulis 'Bubar Dun' menunjukkan sikap permusuhan BN terhadap pembangkang.

Beliau juga menegaskan apa yang berlaku ini akan membuatkan rakyat akan lebih menyokong Pakatan Rakyat.

"Tindakan menghalau wakil rakyat Pakatan Rakyat ini tanda sikap permusuhan BN terhadap pembangkang. Apa yang berlaku ini akan membuatkan sokongan kepada Pakatan Rakyat lebih," tegas Salahuddin.

Beliau juga menegaskan bukan satu kesalahan besar untuk tujuh wakil rakyat itu memakai lilitan di kepala kerana beberapa tahun sebelum ini pernah juga wakil rakyat pembangkang memakai lilit kepala sebagai bantahan terhadap ISA tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media berkata, Parlimen harus membenarkan wakil rakyat menunjukkan protes mereka termasuk menggunakan lilitan.

"Parlimen patut benarkan, tidak harus diambil tindakan tegas," katanya di lobi Parlimen.

Sehubungan itu jelas beliau, Pakatan akan menulis surat kepada Speaker agar menggugurkan hukuman ke atas kesemua tujuh wakil rakyat berkenaan. - azm _

Khamis, 18 Jun 2009

Pertanyaan seorang teman ...

Dato’ Seri Nizar Jamaluddin diberi masa 30 hari dari tarikh keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mengemukakan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan.

Namun sehingga kelmarin, Hakim-hakim bijaksana yang bersidang masih belum mengeluarkan kertas penghakiman untuk beliau memfailkan rayuannya.

Hakim Mahkamah Rayuan juga telah berjajnji untuk mengeluarkan kertas penghakiman tersebut dalam tempoh 7 hari dari tempoh keputusan dibuat.

Tempoh 30 hari akan tamat pada hari Isnin 22/6/2009 ini dan bagaimana pasukan peguam beliau hendak mengemukakan soalan tanpa berdasarkan penghakiman bertulis hakim-hakim tersebut? Sedangkan mereka telah membuat penghakiman lisan dalam masa 5 minit sahaja?

Jadi apa yang dibuat oleh Dato’ Seri Nizar dan rakan-rakannya di Parlimen adalah satu bentuk protes kepada badan kehakiman yang nampaknya seperti telah dipengaruhi dalam tindak-tanduk yang dilakukan oleh mereka.

Ada banyak lagi ahli Parlimen BN yang bertindak keterlaluan termasuk lebih kurang seperti ‘sexual harassment’ terhadap ahli-ahli Parlimen wanita.

Apakah tindakannya itu melampau?

Isnin, 15 Jun 2009

Kemelut Perak bertukar hujan emas


Hishamuddin Rais |
Apa yang sedang berlaku di Perak amat baik sekali. Kelam-kabut dan kacau-bilau yang sedang kita lihat berlaku di Perak sekali imbas tidak mendatangkan faedah kepada orang ramai. Tanggapan sebegini satu pandangan yang salah.

Apa yang berlaku di Perak ini adalah satu rahmat untuk seluruh warga Malaysia. Hujan emas sedang turun mencurah-curah di Perak.

Untuk pertama kalinya seluruh rakyat Malaysia telah melihat contoh yang amat jelas tentang peranan monarki atau institut beraja. Monarki yang selama ini amat lunak dengan ucapan-ucapan yang molok-molok telah mendodoikan orang ramai.

Hasilnya, orang ramai telah terlena dan terlalai. Tiba-tiba monarki telah diduga – sama ada berdiri tegak menjadi payung rakyat atau bersama kuasa kezaliman.

Tindakan dan keputusan yang diambil oleh monarki di Perak memperlihatkan sifat asli monarki dengan jelas. Tingkah laku dan tindakan monarki ini telah melahirkan sentimen republikan di kalangan orang Melayu. Sentimen republikan ini memang sedia wujud dalam hati dan sanubari orang ramai – tetapi tidak meluas.

Apa yang terjadi di Perak telah mengembangkan lagi sentimen republikan ini. Apa yang menarik ialah sentimen republikan ini bukan lahir kerana kempen dan propaganda tetapi kerana tingkah laku monarki itu sendiri.

Orang ramai yang selama ini melihat monarki sebagai simbol kesaksamaan dan ketelusan telah mendapat satu pendidikan politik yang amat berharga. Kini Perak sedang menjadi sekolah politik yang terunggul.

"Raja adil raja di sembah, raja zalim raja disanggah" benar-benar menjadi realiti yang hidup di Perak.

Sekolah politik yang sedang berjalan di Perak ini juga sedang mendidik warga seluruh Malaysia untuk lebih waspada agar mengetahui hak-hak mereka dalam Perlembagaan. Untuk pertama kalinya warga telah disedarkan untuk bangun membaca dan memahami beberapa fasal dalam perlembagaan Perak.

Hasil daripada krisis ini, warga Perak khususnya telah mengetahui peranan raja, peranan menteri besar, peranan tuan Speaker DUN dan had-had yang diwujudkan melalui perlembagaan. Selama kini tidak ramai warga yang ingin mengambil tahu secara terperinci tentang hal-hal perundangan ini.

Mereka lalai dan membiarkan para peguam untuk mentafsir hal perundangan. Apa yang sedang berlaku di Perak telah mendidik rakyat agar mereka sendiri wajib mengetahui dan memahami hak dan kuasa sebenarnya berada di dalam genggaman mereka.

Najib Razak berniat merancang "rampasan kuasa" di Perak kerana ingin memperlihatkan bahawa dirinya bukanlah lembik seperti Abdullah Ahmad Badawi. Rampasan yang dilakukan sebelum peralihan kuasa kepadanya ingin dijadikan sebagai tiupan sangkakala untuk menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat.

Tiupan sangkakala Najib ini diharap-harapkan dapat membangunkan kembali semangat United Malays National Organisation yang telah pecah bertaburan sesudah 8 Mac 2008. Harapan Najib ini jelas telah ranap.

Dari hari ke hari Perak sedang menjerut leher United Malays National Organisation. Pemanjangan krisis ini amat baik untuk Pakatan Rakyat. Lagi lama Perak menanah, lagi subur sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat.

Hari ini MCA, Gerakan dan PPP – komponen Barisan Nasional – telah mula bersuara seirama dengan nada Pakatan Rakyat. Inilah tanda-tanda politik sihat apabila elemen-elemen demokrat dalam Barisan Nasional telah mula bersuara.

Badan-badan NGO seperti Suhakam dan Majlis Peguam juga telah mula bersuara. Lembaga-lembaga ini telah menyatakan pandangan mereka untuk menolak tindak-tanduk yang dilakukan oleh United Malays National Organisation dalam usaha mereka untuk mengambil alih kuasa pentabiran di Perak.

Malah dari dalam United Malays National Organisation sendiri kita telah mula mendengar suara-suara yang tidak mempersetujui langkah dan tindak-tanduk yang telah diambil oleh Najib. Inilah tanda-tanda bahawa masih wujud elemen sihat dan sentimen demokrat di dalam United Malays National Organisation - walaupun kecil.

Suara-suara ini bukan suara musuh tetapi suara sahabat.

Krisis adalah dugaan. Krisis di Perak telah menduga Pakatan Rakyat. Dugaan ini telah memperkukuhkan lagi setiakawan di antara parti PAS, PKR dan DAP. Semangat setiakawan yang kukuh dan berpanjangan akan lahir dalam kancah perjuangan.

Perak adalah medan tempur yang menduga tiga buah parti politik untuk mengetepikan agenda sampingan dan menerkam agenda induk. Kebijaksaan berpolitik di Perak akan dapat membezakan yang mana kayu dan yang mana hutan.

Setiakawan ini telah dilihat dengan amat jelas sekali dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. DAP yang selama ini dimomokkan sebagai parti kecinaan telah diterima oleh orang Melayu. PAS yang selama ini dimomokkan dengan hukum hududnya telah menerobos masuk ke dalam kawah Cina.

Inilah perkembangan yang amat menakutkan United Malays National Organisation.

Dua buah parti ini - sebelum ini - selalu digunakan sebagai senjata ampuh United Malays National Organisation untuk memecah belahkan orang ramai, untuk saling menumbuhkan kecurigaan sesama sendiri.

Di Perak, orang Melayu tidak lagi waswas dan gentar untuk menerima DAP. Di Perak, orang Cina tidak lagi takut untuk menerima PAS. Setiakawan seperti ini pasti akan menakutkan sesiapa sahaja yang mengamalkan politik rasis dan perkauman.

Dalam kancah pertempuran pucuk pimpinan juga akan diduga. Krisis di Perak telah memunculkan dua ikon kepimpinan yang unggul – Mohammad Nizar Jamaluddin dan V Sivakumar.

Kalau di permulaan era Reformasi dahulu, yang muncul hanya Anwar Ibrahim - masih lagi dilihat sebagai perwakilan ikon Melayu. Anwar mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan warga bukan Melayu bahawa reformasi adalah agenda untuk semua.

Berbanding dengan krisis Perak, secara sepontan Nizar dan Sivakumar telah dilihat sebagai pemimpin yang mewakili semua bangsa. Tidak timbul apa-apa persoalan atau waswas seperti yang terjadi kepada Anwar.

Perkembangan ini membuktikan telah ada anjakan dan kedewasaan pemahaman politik untuk semua warga Malaysia.

Apa yang berlaku di Perak ini tidak banyak bezanya daripada apa yang berlaku pada 1998. Pada malam 20 September, Anwar ditangkap di rumahnya. Episod penangkapan ini telah menjadi ombak besar yang membuka gelombang Reformasi.

Pada malam itu mata rakyat Malaysia telah terbuka untuk melihat kezaliman yang diwakili oleh Mahathir Mohamad.

Di Perak, episod ini berulang lagi. Pada 7 Mei lalu, sekali lagi mata rakyat terbuka apabila melihat Sivakumar diheret keluar dari kerusi tuan Speaker dan dikurung agar kuasanya dapat dirampas.

Kini sekali lagi, satu Malaysia telah terbuka mata untuk melihat penerusan kezaliman yang diwakili oleh Najib Razak.

Sama ada DUN dibubar atau tidak dibubar bukan lagi persoalan. Sekolah politik yang sedang dibuka di Perak wajib disebarkan ke seluruh negara.

Aktivis dan angkatan muda Pakatan Rakyat wajib menjelajah ke seluruh pelusuk untuk membawa sekolah politik ini.

Ombak Perak ini wajib terus berdesir sehingga menjadi gelora membadai. Bara kemarahan rakyat jangan dipadam-padamkan malah wajib terus dikipas dan dibakar.

Musim menuai hanya akan sampai apabila pilihanraya umum diadakan nanti. Perak sedang membawa hujan emas kepada Pakatan Rakyat. Lebih lama hujan ini, lebih subur politik Malaysia.

Mohammad Nizar dihalau keluar Dewan

KUALA LUMPUR 15 Jun – Ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin diperintah keluar Dewan hanya selepas 10 minit mengangkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat arahan demikian kerana tidak berpuas hati terhadap bekas Menteri Besar Perak itu kerana dikatakan menjadi punca beberapa ahli Parlimen pembangkang memakai lilit kepala dengan perkataan 'Bubar DUN.'

Turut diarah keluar ialah empat wakil rakyat pembangkang lain yang memakai lilit kepala itu. - Utusan


Ulasan: Apa cerita ni yeop?

Rabu, 10 Jun 2009

Rakyat Tidak Boleh Diperbodohkan Lagi



Dr Zambry Abd Kadir kesal kerana ada pihak yang menanam benih kebencian dan permusuhan dalam hati penduduk kampung yang menghalau beliau keluar daripada tanahnya semasa beliau dan rombongan berkunjung ke Batu 8, Lekir, Manjung untuk melihat dan menziarah mangsa angin puting beliung dua hari lalu.


Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan penduduk kampung yang menghalau beliau tetapi meletakkan kesalahan ke atas bahu pihak yang menanam perasaan benci dan permusuhan itu. "Inilah hasilnya bila benih kebencian dan permusuhan ditanam, maka buah dipetik adalah buah kebencian dan permusuhan.


Saya tidak salahkan dia, tapi saya salahkan orang yang menanam benih itu."Penghasut itu mungkin sudah tidak ada di kampung lagi. Dia mungkin datang sekali sekala untuk memberi "baja" ceramah kebencian," tulis beliau dalam blognya hari ini.


Dr Zambry juga merungut kerana seringkali tangan yang dihulurkan untuk bersalam dengan rakyat Perak tidak disambut dan mengaku perkara tersebut telah berlaku berkali-kali sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar."Jarang anda saksikan orang dan penyokong Barisan Nasional enggan bersalam apabila tangan dihulur. Tetapi saya mengalaminya sendiri sudah berkali-kali."


Saya tetap pergi jua kepada mereka kerana saya tahu mereka tidak bersalah dan mereka hanya terpengaruh dengan ceramah-ceramah politik yang mengapi-apikan kebencian. Akhirnya yang lahir adalah generasi pembenci," kata Dr Zambry lagi.Peristiwa kena halau daripada melawat mangsa tragedi alam benar-benar telah melukai hati Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor itu.


Beliau juga mengambil kesempatan dalam blognya untuk menyatakan kekesalannya terhadap penulisan dalam sesetengah blog dan akhbar yang dakwa beliau bersifat "manipulatif" sehingga menyebabkan "hilang rasa mahabbah (kasih sayang sesama umat)."Saya tidak dapat bayangkan bagaimana akhbar yang menjadi lidah rasmi sebuah parti yang berteraskan perjuangan Islam tidak rasa berdosa dan bersalah menulis sesuatu yang penuh dengan kebencian sehingga melahirkan generasi pembenci yang sangat parah buat ummat Islam sendiri.


"Demikian juga dengan portal-portal berita yang dikeluarkan selain dari blog-blog yang menulis penuh manipulatif sehingga hilangnya rasa "mahabbah" (kasih-sayang sesama umat)," tulis bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi.


Dr Zambry juga berkata antara perkara yang paling dibencinya ialah "bila agama menjadi sandaran untuk seseorang menabur fitnah dan menabur maki hamun yang tidak langsung ada batas-batas keagamaan".Mungkin ramai yang berasa simpati terhadap nasib yang menimpa Dr Zambry yang baru empat bulan memegang jawatan Menteri Besar Perak.Sebagai manusia akhlak dan pekerti yang mulia sememangnya menjadi asas kepada keperibadian seseorang.


Dalam insiden di mana beliau dihalau oleh penduduk kampung persoalan yang wajar ditanya beliau bukanlah siapa yang menyebabkan perasaan benci dan permusuhan itu wujud dalam masyarakat tetapi MENGAPA keadaan itu berlaku.Rasanya sebagai Menteri Besar daripada Umno dan Barisan Nasional Dr Zambry tidak mempunyai masalah untuk menjawab persoalan ini.


Walau bagaimanapun elok diperturunkan beberapa rentetan peristiwa besar yang berlaku dalam senario politik Perak sejak beliau dilantik ke jawatan itu.Pertama, beliau sudah tentu akur dan menerima hakikat bahawa rakyat Perak telah menjulang Pakatan Rakyat sebagai kerajaan pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.Mereka telah memberi 54 peratus daripada jumlah undi kepada wakil-wakil Pakatan Rakyat yang bertanding dan dengan itu gagasan itulah yang mereka pilih untuk memimpin rakyat dan pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.


Dr Zambry juga semestinya akur rakyat Perak terkejut, terperanjat dan tersentak apabila bangun daripada tidur pada 5 Februari 2009 mereka diberitahu bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mereka pilih dan sokong tidak lagi wujud.Sebaliknya kerajaan negeri Pakatan Rakyat diganti oleh kerajaan negeri Barisan Nasional dan Dr Zambry sendiri telah dilantik ke jawatan tersebut pada 6 Februari 2009 bagi menggantikan Mohammad Nizar Jamaluddin.


Perasaan berkecamuk dalam sanubari rakyat Perak diparahkan lagi apabila mereka mengetahui bahawa tumbangnya kerajaan negeri pilihan mereka adalah hasil "tangan-tangan ghaib" Umno dan BN yang "menculik", "mengugut" dan "membeli" sokongan tiga ADUN Pakatan Rakyat.Tidak mungkin rakyat Perak yang matang dalam perkiraaan politik dan berfikiran waras boleh menerima apa yang telah dilakukan oleh Umno dan BN.


Malah dalam amalan demokrasi di mana-mana negara didunia sekali pun budaya "mencuri" dan "membeli" wakil rakyat untuk menumbangkan kerajaan pihak lawan amat dipandang tidak demokratik malah dikeji.Rakyat Perak marah dengan Umno dan BN kerana telah melakukan apa yang dilihat sebagai satu bentuk manipulasi politik yang keji dan hina serta berlandaskan politik kedurjanaan dan murahan.


Rentetan peristiwa yang berlaku selepas itu hanyalah cerminan daripada "kebencian" dan "permusuhan" hasil daripada kerjatangan Umno dan BN sendiri.Kekecohan sidang DUN 7 Mei lalu yang menyaksikan Speaker V. Sivakumar diheret dan dikurung oleh individu-individu yang tidak dikenali yang telah menceroboh Dewan juga membuktikan kepada rakyat Perak kemampuan Umno dan BN untuk melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa sehingga sanggup membelakangkan segala peraturan dan kedaulatan undang-undang.


Penyokong Pakatan Rakyat yang berpakaian serba hitam bagi mengabungi kematian demokrasi dan mengingati 1GelitaMalaysia ditangkap dan disumbat dalam lokap malah solat hajat pun diharamkan.Terpahat dalam memori rakyat Perak peristiwa "sidang bawah pokok" 3 March lalu di mana Speaker dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat dihalang oleh polis atas arahan Umno dan BN memasuki DUN untuk bersidang secara terhormat dan bertamadun tetapi terpaksa bermesyuarat di bawah pokok sena.


Rakyat juga melihat dengan penuh keinsafan bagaimana kuasa polis disalahgunakan oleh Umno dan BN untuk mengugut dan menangkap wakil-wakil rakyat serta penyokong Pakatan Rakyat apabila mereka menyuarakan bantahan terhadap kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku.Rakyat juga melihat sikap dwi standar yang diamalkan Umno dan BN dalam perlaksanaan undang-undang.


Majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat diceroboh dan penyokong ditangkap hanya kerana menayankan video perihal kekecohan sidang DUN Perak.Namun apabila Umno dan BN mencetak 50,000 cakera padat yang menceritakan versi mereka berhubung sidang DUN 7 Mei dan menayangkan kepada umum tidak ada polis yang menceroboh majlis atau sesiapa pun ditangkap.


Ceramah dan perhimpunan Pakatan Rakyat diawasi dengan puluhan anggota polis dan unit simpanan persekutuan (FRU) yang lengkap bersenjata serta puluhan lagi anggota cawangan khas yang memantau setiap kata-kata yang diluahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.


Kempen puasa sunat dan mogok yang dilancarkan minggu lalu juga tidak lepas daripada tekanan dan kedajalan polis - khemah diarah dibuka, perhimpunan disuraikan, belasan ADUN serta penyokong ditangkap.Sudah tentu Dr Zambry ingat semua peristiwa yang telah berlaku ini kerana beliau secara langsung dikaitkan dengan semua peristiwa itu.Rakyat tidak lagi bodoh dan redha untuk diperbodohkan.


Lagi cepat Dr Zambry sedar akan hakikat ini lagi pantas beliau akan memahami mengapa salamnya tidak disambut dan mengapa insiden di Batu 8, Lekir, Manjung berlaku kepada seorang Menteri Besar.


-Sumber : TV Antara.com-

Ahad, 24 Mei 2009

Kata Dulang Paku Serpih ...

Dipetik tanpa edit dari WBHIM
Ahmad Maslan Kata Hakim Kes Perak “Wayar Putus”

“Tuan-tuan, hakim yang mengendalikan kes Perak ni putus wayarnya!” Ujar Ketua Penerangan UMNO Ahmad Maslan semasa menyampaikan ucapan kepada lebih 800 Ahli UMNO di dewan Sri Jugra Kuala Langat pada malam 20 mei yang lepas.

Mulut Jahat

Mulut Jahat. Itulah yang boleh diungkapkan terhadap Ketua Penerangan yang bongkak, sombong dan tak ingat akhirat ini.

Ahmad Maslan yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO oleh DS Najib dengan penuh bersemangat mengutuk hakim Abdul Aziz Abdul Rahim hanya kerana Yang Arif terbabit tidak memihak kepada kerajaan dalam keputusan yang lalu yang melibatkan pengisytiharahan tidak sah MB Perak Dr.Zambry Abdul Kadir di mahkamah tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.

Pandai sangat kah Ahmad Maslan dalam bidang undang-undang sehinggakan hakim yang Arif dikatakan putus wayar? Ahmad Maslan juga dengan bangga berkata beliau yang mempunyai ijazah sarjana muda Sains Politik Universiti Wellington dilantik sebagai ketua penerangan termuda dalam sejarah parti.

“I tanya Najib kenapa lantik I jadi ketua penerangan. Biasa ketua penerangan ni untuk orang yang dah nak out, tapi I baru nak in,”

Sungguh megah dan bongkak hamba Allah berusia 43 tahun ini. Kalau ini lah ketua penerangan yang UMNO miliki, jangan harap boleh menang pilihanraya akan datang?

Ahmad Maslan Kutuk Ahmad Sabu

“Saya katakan angka 121. 121 bermaksud, 1 orang melayu cari 2 orang melayu untuk sertai UMNO, dan 1 bukan melayu untuk sertai BN. Tapi tuan-tuan, angka 121 ini istimewa. Kerana angka 121 inilah bilik yang Ahmad Sabu kena tangkap basah! (sambil ketawa)”

Apa perlunya beliau mengaitkan misi ahli UMNO dengan Ahmad Sabu kena tangkap basah? Bukankah itu melambangkan ketidakmatangan beliau? Seharusnya kedatangan beliau menemui ahli UMNO adalah untuk memberi semangat, visi dan misi kepada akar umbi demi menguatkan lagi parti. Tetapi malang, Ahmad Maslan berkelakuan seperti kanak-kanak yang singkat otak dan terencat akal. Hentam orang sana sini, tanpa menunjukkan relevancy dalam kata-kata beliau.

Bodek Najib Rakyat Meluat

“DS Najib tak pernah kenal Altantuya. Pada malam Altantuya di bom, Datin Sri Rosmah Mansor sedang menghadiri jamuan berbuka puasa di bangunan Tabung Haji. Bila masa pula DS Rosmah terlibat?”

Saya ingin beritahu anak wak Maslan ni, bahawa janganlah terlalu kuat membodek. Malahan rakyat pun sudah jemu mendengar kisah Altantuya dikaitkan dengan Najib ini. Semua orang sudah tahu, apa perlunya beliau berulang-ulang kali sebut fasal perkara ini lagi? Bukankah banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh UMNO dalam proses transformasi yang harus dilakukan oleh kita semua?

Jika tiada apa yang bernas untuk disemai ke akar umbi, lebih baik anak wak Maslan ini duduk diam-diam di rumah dan teruskan menambah ilmu di dada. Bukan pergi berkelakuan seperti orang kurang siuman hentam orang sana sini tanpa asas sebab musabab yang berkenaan dengan beliau dan keluarga beliau.

Malang parti UMNO memiliki seorang ketua penerangan seperti ini. Kepada DS Najib, saya berharap Dato Seri tidak mempunyai tabiat yang serupa dengan Tun Dr.Mahathir – tabiat salah melantik orang. Saya yakin, pada hemat saya dan rakyat sekalian yang lain, jawatan ketua penerangan UMNO ini lebih sesuai diberikan kepada Datuk Seri Dr.Rais Yatim, yang memiliki segala-galanya lebih daripada Ahmad Maslan?

Saya juga ingin bertanya kepada DS Najib, sistem KPI yang diperkenalkan kepada menteri-menteri kabinet, adakah ia juga wajar diaplikasikan kepada pemimpin tertinggi parti? Bukankah ia wajar, Datuk Seri? Kita tidak mahu pemimpin yang tidak siuman, kutuk mengutuk dan menghentam orang sesuka hati. Ini jelas bercanggah dengan konsep “Satu Malaysia” yang diajukan oleh Datuk Seri.

Seorang hadirin semasa pulang berkata kepada saya “Apa dia cakap ni? Tak ada satu pun yang boleh di bawa balik.”

Selasa, 12 Mei 2009

Ir. Nizar sah sebagai MB Perak

  1. Keputusan mahkamah telah keluarkan yang mengesahkan bahawa Datuk Seri Ir. Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah .... 
  2. Tidak timbul soal perletakan jawatan Datuk Seri Zamri sebagai Menteri Besar Perak kerana beliau hanyalah seorang wakil rakyat yang mewakili Pangkor tetapi "berlagak (acting)"sebagai Menteri Besar Perak selama 100 hari
  3. Yang menjadi persoalannya ialah ... adakah beliau boleh dikenakan tindakan di atas perlakuannya yang mengambil tugas sebagai MB Perak dan melakukan beberapa tindakan drastik tanpa kelulusan MB yang sebenarnya ... contohnya melelong kereta toyota camry kerajaan Perak, memecat ketua kampung dan jkkkn yang dipilih oleh kerajaan Perak?
  4. Adakah beliau boleh diperintahkan untuk membayar harga kereta proton perdana yang ditempahnya tanpa kelulusan kerajaan negeri Perak yang sah?
  5. Apakah bentuk tindakan yang boleh dikenakan ke atas beliau? Kalau kakitangan kerajaan boleh dikenakan surcaj.
  6. Adakah perlakuannya yang memudaratkan negeri Perak boleh dibawa dan diadili di Mahkamah?
  7. Media tidak seharusnya merujuk beliau sebagai "bekas Menteri Besar"kerana perlakuannya sebagai Menteri Besar Perak hanyalah lakonan semata-mata dan tidak mendapat pengiktirafan rakyat dan mahkamah.
  8. Kakitangan kerajaan termasuk SUK Perak boleh dikenakan tindakan kerana melanggar arahan MB Perak dengan mengikut arahan Dr. Zamri.
  9. Persidangan DUN bawah pokok dengan sendirinya sah ... dan keputusan yang dibuat dengan sendirinya sah .... Dr. Zamri serta Exconya digantung dari menghadiri persidangan DUN seperti yang diputuskan dalam persidangan tersebut. Keputusan mahkamah yang menyatakan keputusan menggantung Zamri sebagai tidak sah boleh dicabar di mahkamah.
  10. Adakah penyingkiran Speaker kerajaan Perak sah? Sedangkan tidak dibuat mengikut peraturan? Dr. Zamri dan exconya yang digantung masih berada dan mengundi dalam Dewan untuk perlantikan Speaker baru?
  11. Adakah sidang DUN 7 Mei 2009 itu sendiri sah?