Khamis, 23 Oktober 2008

Darah Tak Padan

Darah Tak Padan

Pelawat menulis "Soalan:

Doktor, saya ingin tahu kaitan kesepadanan darah. Adakah darah jenis O+ sesuai untuk pasangan yang juga darahnya jenis O+? Apakah kesan jika jenis darah tidak sepadan.

Tati, 
Melalui e-mel.

Jawapan:

Ada empat jenis kumpulan darah, iaitu A, B, AB dan O. Apa yang positif atau negatif itu bermaksud kumpulan Rhesus, satu lagi jenis komponen pengenalan pada sel darah.

Seorang yang darah jenis A, boleh menerima darah dari A dan O, kumpulan B boleh menerima darah B dan O, AB boleh menerima darah dari A, B dan O. Orang yang berjenis O hanya boleh menerima darah jenis O saja. Sama seperti jenis darah, kumpulan Rhesus positif boleh menerima kedua darah positif dan negatif, tetapi yang Rhesus negatif hanya boleh menerima kumpulannya saja. 

Jadi, darah O negatif, dapat diberikan kepada semua jenis A, B, AB dan O dan kumpulan positif dan negatif, tetapi orang yang ada O negatif hanya boleh menerima kumpulan darah O negatif saja. Jika diberi darah jenis lain, dan dari rhesus positif, komponen asing pada darah luaran ini akan memulakan satu respons oleh badan yang akan memecahkan sel darah di dalam badannya sehingga tiada lagi sel yang boleh berfungsi untuk membawa oksigen ke badan. Itulah sebab kita dengar orang boleh mati disebabkan kemasukan jenis darah yang tidak bersesuaian. 

Di barat, kebanyakan warganya berkumpulan Rhesus negatif, tetapi di sebelah Timur dan Asia, kebanyakan orang adalah Rhesus positif. Permasalahan Rhesus dalam mengandung berlaku bila seorang wanita yang negatif mempunyai pasangan Rhesus positif. 

Ada 50 peratus kemungkinan yang anak dalam kandungan itu positif. Jika anak dalam kandungan yang pertama positif, sel-sel darah dari anak dapat bercampur dengan darah ibu terutama sekali semasa bersalin. Sel-sel ini, walaupun sedikit akan menimbulkan rangsangan dalam badan ibu dan membentuk antibodi yang memusnahkan sel-sel darah Rhesus positif bayi. 

Antibodi yang dibentuk dalam ibu akan berkekalan, seperti juga kalau seorang itu telah dijangkiti demam campak - badannya telah membentuk antibodi yang melawan virus campak itu dan kemudiannya, dia tidak akan dijangkiti lagi kerana antibodi yang ada ini akan mengenal virus campak pada kali yang kedua dan terus memusnahkannya.

Jadi, jika ibu itu mengandung kali kedua, dan kandungan anak itu positif juga, antibodi dari ibu akan memasuki salur darah bayi dan memusnahkan sel darahnya. Bayi ini akan meninggal kerana kurang darah yang menyebabkan kegagalan fungsi jantung (lemah jantung). Bila dilahirkan, ia kelihatan bengkak kerana cecair berlebihan di dalam badan. Keadaan ini dinamakan 'Hydrops fetalis'.

Banyak kajian dilakukan mengenai masalah ini, sehingga sekarang jarang sangat ada kematian bayi berikutan masalah Rhesus. Adalah menjadi amalan biasa di semua klinik mengandung untuk memeriksa kumpulan darah ibu supaya mereka yang Rhesus negatif dikenal pasti. Mereka akan diminta membawa suami untuk diperiksa jenis darah mereka. Jika suami Rhesus positif, mereka akan dinasihati seperti demikian - bila sudah bersalin, darah anak akan diperiksa untuk mengenal pasti kumpulannya. Jika ia positif, ibu akan diberi satu suntikan dalam lingkungan masa 72 jam - suntikan ubat ini mengandungi imunoglobulin yang akan melindungi darah ibu dari membentuk antibodi kepada Rhesus positif. Ini akan diulangi tiap-tiap kali ia bersalin jika anaknya itu positif juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan